Tiga lelaki didakwa larikan ahli perniagaan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini, pada Khamis atas pertuduhan melarikan seorang ahli perniagaan di sebuah restoran minggu lepas.

Lim Chee Hau, 40, peniaga sayur, Yeo Chian Huat, 37, pekerja kilang dan Yong Hong Choon, 47, didakwa bersama-sama melarikan Lian Ooi Long, 38, dengan niat hendak mengurung dengan sulit dan salah.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Taman Pandan Indah di sini pada jam 5.03 petang, 29 September lepas mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ameera Sam Kamaruddin menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh.

Peguam Ethan Tan Wei Hong yang mewakili Lim dan Yeo memohon jaminan dikurangkan atas alasan kedua-dua anak guamnya menanggung keluarga manakala peguam Lau Yih Ying mewakili Yong turut memohon jaminan rendah kerana anak guamnya menghidap penyakit kanser.

Majistret Normaizan Rahim membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, dilarang mengganggu mangsa dan melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali serta menetapkan 14 Dis ini untuk sebutan semula kes.

Di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top, Yeo mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap Lian pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh boleh sampai setahun atau dengan denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 berserta syarat tambahan, tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan dua minggu sekali serta dilarang mendekati mangsa dan menetapkan tarikh sama (14 Dis) untuk sebutan semula kes.

Bernama sebelum ini melaporkan seorang ahli perniagaan cedera ringan selepas dilarikan sekumpulan lelaki di Jalan Pandan, Ampang di sini, dipercayai akibat masalah hutang.

Mangsa dilepaskan di Klang, beberapa jam selepas kejadian dan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada jam 10.45 malam untuk membuat laporan. - Bernama