'Bukan mesyuarat tergempar PN' - Ahmad Faizal

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu mesyuarat pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) berlangsung di ibu negara pada petang tadi.

Pengerusi PN yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika dihubungi berkata, perkara berhubung mesyuarat itu sudah dimaklumkan sejak minggu lalu.

"Ia adalah mesyuarat yang sudah dijadualkan dan bukan mesyuarat tergempar atau tiba-tiba. Saya ada terima jemputan minggu lalu," katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas ketika ditanya apakan tujuan sebenar mesyuarat itu diadakan.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Pintu Satu, Istana Negara pada jam 3.50 petang bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kenderaan yang membawa beliau dilihat keluar dari Istana Negara sejam kemudian tanpa sebarang sidang akhbar.

Ismail Sabri sebelum itu hadir di Kementerian Kewangan (MOF) pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Namun ketika ditanya media, Ismail masih dilihat terus berteka-teki sama ada Bajet 2023 dibentangkan di Dewan Rakyat seperti dijadualkan esok ataupun tidak.

Dalam pada itu, Istana Negara sebelum ini turut menafikan laporan yang mendakwa Ismail Sabri mengadakan pertemuan itu bagi memohon pembubaran Parlimen.