Penganggur ditahan bersama 2kg syabu

Jasmin (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Tiku pada 3 Oktober lepas, dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, pada Khamis. - Foto Bernama
Jasmin (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Tiku pada 3 Oktober lepas, dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

TAWAU - Seorang penganggur ditahan bersama 2.01 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM120,000 di simpang Taman Megah Jaya 10 di sini, pada Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan ketika sedang memandu kereta dan pemeriksaan yang dijalankan menemukan dua bungkus plastik berisi serbuk disyaki dadah yang disembunyikan di bawah tempat duduknya.

"Ketika kejadian kereta suspek cuba ditahan untuk pemeriksaan dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Tiku di sini pada 7.30 malam, namun dia memecut keretanya sebelum polis bertindak mengejar kereta tersebut dan berjaya ditahan kira-kira lima minit kemudian," katanya dalam satu sidang media di sini pada Khamis.

Katanya, lelaki tersebut yang tidak memiliki rekod jenayah serta negatif ujian air kencing, direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

"Dadah tersebut dipercayai untuk pasaran tempatan dan polis masih mengenal pasti sumbernya," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: