Rasuah saman trafik RM5 juta, 9 individu direman

Antara individu yang dibawa SPRM ke Mahkamah Putrajaya untuk permohonan reman.
Antara individu yang dibawa SPRM ke Mahkamah Putrajaya untuk permohonan reman.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membongkar aktiviti rasuah yang melibatkan sindiket bagi pengurangan saman trafik dari beberapa negeri sejak 2016 hingga kini yang melibatkan transaksi wang berjumlah lebih RM5 juta.

Susulan daripada itu, SPRM telah menangkap seramai 11 individu iaitu empat anggota polis, enam penjawat awam dan seorang orang awam.

Sembilan individu telah direman bagi membantu siasatan, sementara dua lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil.

Perintah tahanan reman selama tiga hari bermula Rabu sehingga Jumaat telah dikeluarkan Majistret, Irza Zulaikha Rohanuddin, selepas meluluskan permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Menurut sumber, sindiket berkenaan dipercayai mencari individu yang ingin menyelesaikan saman trafik dengan membayar sejumlah wang yang lebih rendah daripada nilai saman.

"Selepas menerima wang tersebut, sebahagian jumlah tersebut akan dimasukkan ke hasil kerajaan manakala selebihnya akan dikongsi dengan suspek-suspek yang bertugas di Polis Diraja Malaysia (PDRM). Suspek kemudian akan mengeluarkan nama individu yang disaman daripada sistem PDRM," katanya.

"Bayaran ini akan dikutip anggota sindiket seterusnya menyerahkan kepada pegawai yang membuat pengurangan kompuan menerusi sistem," ujarnya.

Difahamkan, sebanyak 60 akaun bank daripada suspek yang berjumlah keseluruhan kira-kira RM184,000 telah dibekukan oleh SPRM.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

"Kita tidak menolak kemungkinan untuk memanggil beberapa lagi saksi terdiri daripada pegawai dan anggota polis serta orang awam bagi membantu siasatan," katanya.