SK Dato' Wan Kemara aktif laksana program sepanjang pandemik

Mohd Nizam Saidin menunjukkan piala dan sijil penyertaan selepas memenangi Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari 2021/2022 (ASSSB) kategori Sekolah Rendah Bandar di Shah Alam pada Rabu.
Mohd Nizam Saidin menunjukkan piala dan sijil penyertaan selepas memenangi Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari 2021/2022 (ASSSB) kategori Sekolah Rendah Bandar di Shah Alam pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pelbagai program diadakan sepanjang pandemik Covid-19 antara kejayaan Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Wan Kemara, Kedah untuk melahirkan kemenjadian murid.

Guru besarnya, Mohd Nizam Saidin berkata, sudah menjadi tanggungjawab dan peranan guru bagi memastikan kualiti murid yang dihasilkan selain meningkatkan kualiti pendidikan negara bertaraf dunia.

"Sepanjang pandemik banyak program telah dilaksanakan terutama melibatkan kemenjadian murid.

"Walaupun era pandemik itu berlaku sehingga tidak dapat jalankan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka tetapi sekolah sangat aktif melaksanakan program-program secara dalam talian.

"Kita ada ruang dan peluang pada era pandemik itu dengan menyertai program dan pertandingan di peringkat kebangsaaan dan antarbangsa selain pernah menang pingat emas di Korea Selatan menerusi pertandingan berkaitan inovasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari 2021/2022 (ASSSB) di sini pada Rabu.

Mohd Nizam menambah kejayaan itu didorong dengan bantuan guru-guru yang hebat dan berpengalaman luas selain kemudahan terbaik disediakan kepada pelajar.

Pada majlis itu, SK Dato' Wan Kemara memenangi ASSSB dalam kategori Sekolah Rendah Bandar anjuran bahagian pendidikan Sinar Harian, Sinar Bestari di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini antara kejayaan yang pernah dimenangi sekolah tersebut adalah menjadi satu-satunya sekolah di negeri Kedah yang mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa melalui Anugerah Microsoft Showcase School pada 2 September tahun lalu.

Melalui pengiktirafan tersebut, seramai 93 orang guru telah diiktiraf sebagai Innovative Educator (MIE) manakala 15 orang guru lagi sebagai Microsoft Innovative Educator Expert (MIEE).

Selain itu, SK Dato’ Wan Kemara juga meraih Anugerah Emas Kategori Pendigitalan Sekolah dalam Digital Utilisation and Technology Award (DUTA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2021.