Tak mahu tertekan macam dulu: Ruhainies

Ruhainies
Ruhainies
A
A
A

PELAKON Ruhainies mengakui popularitinya kini semakin menurun berbanding sebelumnya selepas mengambil pendekatan untuk tidak terlalu menonjol dan hanya berkongsi tentang kerjaya seni.

Mengakui cerita tentang dirinya semakin kurang diperkatakan, pelakon drama 3 Gadis Manis ini bagaimanapun selesa dengan situasi itu.

“Memang diakui cerita tentang saya kini sudah jarang diperkatakan kerana saya sendiri memilih keadaan itu dengan mengelakkan diri daripada terjebak dengan gosip dan kontroversi yang boleh menarik perhatian ramai.

“Jadi saya rasa adalah lebih baik untuk tidak terlalu menonjol agar netizen tidak fokus sangat untuk mencari kesalahan. Baik fokus sahaja pada kerja dan jalani kehidupan dengan sebaiknya bersama orang-orang kita yang sayang.

“Saya tidak mahu lagi tertekan macam dulu bila terpaksa berdepan dengan gosip-gosip yang tidak masuk akal sehingga menjejaskan tumpuan kepada kerja. Jadi biarlah orang kurang bercakap fasal saya, daripada bercakap tapi berkaitan perkara-perkara negatif,” tegasnya.

Ruhainies
Ruhainies

Dalam perkembangan lain, Ruhanies kini mula berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan dan mahu sentiasa mencari pembaharuan dalam kerjaya seninya.

“Saya ada sedikit pengalaman dalam bidang pengacaraan sebelum ini, tapi hanya untuk slot yang kecil-kecil sahaja sekadar untuk mencuba.

Artikel Berkaitan:

“Tak sangka pula saya mendapat peluang yang lebih besar apabila ditawarkan mengacarakan program travelog Secawan Kopi terbitan Zeel Production.

“Sebagai orang baru dalam bidang ini, saya akui memang banyak kelemahan yang dapat dilihat. Namun sepanjang penggambaran program ini, saya belajar banyak benda baharu dan diberi pelbagai pendedahan sekali gus membantu saya untuk tampil lebih baik,” ujarnya.

Berkongsi lebih lanjut tentang program tersebut, kata Ruhainies, Secawan Kopi membawanya menjelajah ke seluruh Indonesia untuk melihat proses pembuatan kopi di sana.

Menurutnya, pengalaman tersebut sesuatu yang cukup mencabar, apatah lagi dia dan kru perlu menjalani penggambaran di beberapa kawasan pendalaman.

“Biarpun program ini mendedahkan saya kepada aktiviti lasak, namun pihak penerbit mahu saya sentiasa tampil cantik dan anggun sepanjang penggambaran.

“Jadi walaupun terpaksa masuk kawasan pendalaman, pergi ladang, kilang kopi dan sebagainya, saya diminta mengenakan kasut tumit tinggi dengan penampilan yang menarik.

“Pada mulanya susah jugalah nak buat, namun bila ramai yang membantu dan penggambaran berlangsung dalam keadaan yang santai serta menyeronokkan, semuanya berjalan lancar,” jelas Ruhanies.