PRU ketika banjir, rakyat boleh terdedah isu kesihatan: MMA

Dr Muruga Raj Rajathurai
Dr Muruga Raj Rajathurai
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya peka mengenai risiko terhadap kesihatan rakyat sekiranya pilihan raya umum (PRU) diadakan ketika musim banjir.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, sekiranya banjir berlaku semasa tempoh PRU, rakyat mungkin terdedah kepada penyakit, kecederaan dan kematian akibat banjir.

Menurutnya, bukan sahaja terdedah kepada kecederaan dan lemas, air banjir juga boleh membawa kepada penyakit bawaan air dan makanan seperti demam kepialu, taun, hepatitis A, dysentry dan keracunan makanan di mana gejala-gejalanya termasuklah cirit-birit, muntah, sakit perut, demam atau sakit kepala.

"Terdapat juga risiko leptospirosis jika seseorang itu terdedah kepada bakteria leptospira yang terdapat dalam air kencing mamalia seperti tikus, anjing, kucing, lembu dan sebagainya.

"Tanpa rawatan, leptospirosis boleh membawa kepada masalah kesihatan serius seperti kerosakan buah pinggang, meningitis (keradangan membran di sekeliling otak dan saraf tunjang), kegagalan hati, gangguan pernafasan, malah kematian.

"Isu kesihatan lain yang berpotensi akibat terdedah kepada air banjir termasuk konjunktivitis, radang kulit dan jangkitan kulit," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Muruga Raj turut bimbang tentang kumpulan rentan seperti orang kurang upaya, warga emas dan wanita hamil mungkin terdedah kepada bahaya jika mereka meredah banjir demi melaksanakan hak demokrasi mereka untuk mengundi.

"Satu lagi kebimbangan utama ialah isu kekurangan bekalan ubat-ubatan tertentu yang kini mendapat permintaan tinggi dan kebanyakan ubat-ubatan terjejas pada masa ini akan diperlukan untuk merawat beberapa penyakit ini.

Artikel Berkaitan:

"Perkara terakhir yang kita inginkan ialah krisis kesihatan pada masa ubat-ubatan yang paling diperlukan mengalami kekurangan bekalan," katanya.

Menurut Muruga Raj, sejak beberapa tahun ini, sukar untuk meramalkan kawasan yang akan terjejas akibat banjir.

"Banyak tempat tidak terjejas sebelum ini dilanda banjir dan perkara ini juga perlu dipertimbangkan, terutamanya ketika merancang pusat pengundiaan sekiranya pilihan raya diadakan.

"Malaysia sedang bergerak ke arah pemulihan daripada ancaman wabak dan terdapat tanda-tanda pemulihan ekonomi dan kami berharap agar Perdana Menteri dapat membuat keputusan yang bijak demi kepentingan rakyat," katanya.

Tambahnya, politik tidak seharusnya diutamakan daripada kesihatan dan kesejahteraan rakyat.