Perkeso, UPSI bantu golongan hilang upaya kembali bekerja

Mohammed Azman (dua dari kiri) dan Md Amin (tengah) pada Majlis Pelancaran RTW Readiness Scale yang berlangsung di Fakulti Pembangunan Manusia UPSI pada Selasa. - Foto Perkeso
Mohammed Azman (dua dari kiri) dan Md Amin (tengah) pada Majlis Pelancaran RTW Readiness Scale yang berlangsung di Fakulti Pembangunan Manusia UPSI pada Selasa. - Foto Perkeso
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membangunkan instrumen 'Return To Work (RTW) Readiness Scale' dalam usaha membantu golongan hilang upaya akibat kemalangan atau penyakit segera kembali ke alam pekerjaan.

Perkeso memaklumkan, penghasilan kaedah penilaian menerusi penyelidikan itu membolehkan individu di bawah program RTW dikenal pasti dengan lebih awal dan tepat bagi membolehkan mereka segera bekerja.

“Kaedah ini sekali gus membantu pengurus dan pembantu pengurus kes untuk merangka pelan rehabilitasi dan program intervensi yang bersesuaian supaya golongan berkenaan dapat kembali bekerja lebih awal, sihat dan selamat.

“Penilaian kesediaan individu untuk kembali bekerja sangat penting memandangkan ia adalah antara elemen utama dalam pengurusan hilang upaya ke atas Orang Berinsurans (OB) Perkeso yang ditimpa kecederaan atau penyakit,” katanya menerusi kenyataaan pada Selasa.

Majlis Pelancaran RTW Readiness Scale yang berlangsung di Fakulti Pembangunan Manusia UPSI pada Selasa. - Foto Perkeso
Majlis Pelancaran RTW Readiness Scale yang berlangsung di Fakulti Pembangunan Manusia UPSI pada Selasa. - Foto Perkeso

Dalam pada itu Perkeso memaklumkan, kaedah penilaian tersebut merupakan hasil kerjasama penyelidikan bersama pensyarah UPSI dan Pengurus Kes Perkeso menerusi Memorandum Perjanjian (MoA) yang dimeterai pada 9 Mac 2021.

Katanya, kaedah itu akan digunakan sebagai alat penilaian tambahan dalam pengurusan kes Program RTW bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan pengurusan hilang upaya.

“Kerjasama penyelidikan ini mencerminkan komitmen kami dalam menambah baik perkhidmatan pengurusan hilang upaya khususnya kepada golongan OB melalui penerokaan lebih banyak peluang kerjasama dengan pihak luar.

Artikel Berkaitan:

“Sehingga 16 September lalu, seramai 49,851 peserta RTW telah berjaya dibantu dengan pelbagai program pemulihan komprehesif untuk kembali ke alam pekerjaan dalam keadaan sihat dan selamat.

"Perkeso menyeru kepada para ahli akademik, majikan dan golongan profesional untuk turut menggunakan instrumen ini bagi tujuan kajian lanjut dalam aspek pengurusan hilang upaya di Malaysia agar ia dapat diperkasa dan ditambahbaik dari semasa ke semasa," ujarnya..

Sementara itu Perkeso turut memaklumkan, Majlis Pelancaran RTW Readiness Scale telah disempurnakan oleh Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dalam satu majlis yang turut dihadiri Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md. Taff di Fakulti Pembangunan Manusia UPSI pada Selasa.