Pemenang baucer buku mahu tambah koleksi perpustakaan mini anak

Pemenang bergambar bersama setelah selesai sesi penyampaian hadiah untuk pemenang Peraduan Pose dan Menang di lobi Kompleks Kumpulan Karangkraf. - FOTO RAFEQ REDZUAN
Pemenang bergambar bersama setelah selesai sesi penyampaian hadiah untuk pemenang Peraduan Pose dan Menang di lobi Kompleks Kumpulan Karangkraf. - FOTO RAFEQ REDZUAN
A
A
A

SHAH ALAM - Pemenang hadiah utama Peraduan Pose dan Menang, Wan Noor Azilah Wan Umar bakal menebus baucar buku terbitan Grup Buku Karangkraf sebanyak RM1,000 yang dimenanginya untuk menambah koleksi perpustakaan mini anak-anaknya.

Wan Noor Azilah berkata, meskipun anak-anaknya masing-masing baru berusia 7 dan 9 tahun, mereka sudah memiliki anggaran 100 buku setiap seorang.

“Alhamdulillah, mereka memang sudah dididik dari awal lagi untuk menanam minat membaca.

“Dengan kemenangan baucar buku Karangkraf ini, saya amat teruja untuk menambah koleksi bahan bacaan anak-anak di rumah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas sesi penyampaian hadiah untuk pemenang Peraduan Pose dan Menang di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa.

Bercerita mengenai peraduan itu, Wan Noor Azilah berkata, pemilihan untuk mereka sekeluarga menggayakan busana songket sambil bergambar di hadapan bangunan Karangkraf merupakan hasil idea daripada dirinya dan anak-anak.

“Kami memang akan sediakan pelbagai jenis busana setiap tahun untuk sertai pertandingan terutamanya sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

“Tahun ini kami memilih untuk menggayakan baju songket. Kebetulan peraduan seperti ini sesuai dengan baju tersebut, jadi kami bawa sekali untuk bergambar.

Wan Noor Azilah
Wan Noor Azilah

Artikel Berkaitan:

“Sebenarnya, kita juga mahu cungkil bakat anak-anak dari awal lagi supaya mereka tidak jadi pemalu. Sebab itu selain sekolah, saya juga galakkan mereka untuk masuk mana-mana pertandingan yang dianjurkan organisasi luar,” jelasnya.

Selain itu, Wan Noor Azilah turut berpeluang membawa pulang wang tunai RM100, t-shirt Sinar Harian dan bekalan pelitup muka Karangkraf selama setahun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, peraduan tersebut juga bertujuan untuk memperkenalkan bangunan Karangkraf yang kini berwajah baharu kepada orang ramai.

“Ini pertama kali bangunan yang berkonsepkan kilang dihiasi dengan mural, jadi kita mahu perkenalkan kepada orang ramai tentang transformasi bangunan Karangkraf," jelas beliau.

Mengulas mengenai markah penjurian, ujarnya, peraduan itu dinilai berdasarkan tahap kreativiti peserta bergambar dengan berlatarbelakangkan bangunan Karangkraf yang berwajah baharu.

“Pemenang kali ini dipilih atas usaha mereka sekeluarga datang ke Karangkraf sambil menggayakan busana songket,” katanya.