Azizulhasni terharu layanan baik skuad Australia

Azizulhasni dijangka kembali berlatih bersama skuad berbasikal negara di Nilai awal tahun depan. - Foto Agensi
Azizulhasni dijangka kembali berlatih bersama skuad berbasikal negara di Nilai awal tahun depan. - Foto Agensi
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengimbas detik mula mengayuh semula selepas menjalani pembedahan jantung di Australia pada April lalu.

Pelumba berusia 34 tahun itu mendapat layanan 'istimewa' daripada skuad Australia apabila membenarkan dia berlatih bersama pasukan itu kerana bersendirian di Melbourne.

The Pocket Rocketman terpaksa berbuat demikian selepas skuad negara termasuk Ketua Jurulatih, John Beasley yang menjadikan Melbourne sebagai medan latihan sebelum ini kembali berpindah ke Malaysia awal tahun ini.

“Saya sangat bersyukur semasa mahu bermula semula (selepas pembedahan), pasukan Australia jemput berlatih bersama. Mereka tahu John tiada dan semua mengenalinya.

“Biasanya, memang mereka tidak bagi berlatih bersama. Mereka layan saya seperti sebahagian daripada pasukan.

“Pernah sekali itu, keadaan saya macam kurang ok dan tidak dapat datang berlatih. Mereka hubungi dan bertanyakan keadaan, rasa macam sudah lama jadi rakan sepasukan.

“Bila mahu pulang ke Malaysia baru-baru ini, mereka tanya berapa lama saya pulang. Mereka seronok berlatih dengan saya dan sangat bersyukur dapat sokongan seperti itu,” ujar pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu.

Pelumba yang berasal dari Terengganu itu ketika ini berada di Malaysia dan dijadualkan pulang ke Melbourne tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

Azizulhasni juga akan kembali berpindah ke Malaysia bagi menyertai rakan sepasukan meneruskan program latihan di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan seawal Januari depan.

“Perancangannya adalah untuk kembali ke Malaysia sebab pasukan dan John pun sudah pindah. Hanya saya masih di Melbourne.

“Andai semua berjalan lancar, saya jangkakan Januari akan pindah ke Malaysia. Namun saya perlu berbincang dengan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan MSN (Majlis Sukan Negara). Mahu lihat apa perancangan mereka.

“Ini adalah perkara besar sebab saya di sana dengan seluruh keluarga. Jadi, saya perlu lihat apa perancangan mereka,” katanya.

Beliau sebelum ini disahkan mengalami masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA) sehingga perlu menjalani pembedahan di Melbourne, April lalu.