KKM terima enam aduan buli menerusi MyHelp@KKM

Khairy Jamaluddin berucap kepada warga kementeriannya semasa Perhimpunan Bulanan Kementerian Kesihatan, pada Selasa. - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin berucap kepada warga kementeriannya semasa Perhimpunan Bulanan Kementerian Kesihatan, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Enam aduan kes buli melibatkan warga kerja Kementerian Kesihatan (KKM) diterima setakat hari ini menerusi sistem aduan MyHELP@KKM yang mula beroperasi pada Sabtu lepas, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan KKM di sini pada Selasa, Khairy berkata, setiap aduan kes buli yang diterima melalui sistem itu akan melalui proses siasatan yang telus dan berintegriti oleh Unit Integriti KKM.

MyHELP@KKM adalah satu sistem pelaporan aduan berkenaan buli di tempat kerja khusus untuk warga kerja KKM.

"Walaupun hanya empat hari dibuka, sistem ini telah terima enam aduan dan ini menunjukkan ada yang berani guna sistem ini. Tidak perlu takut kerana setiap identiti akan dirahsiakan dan siasatan mendalam akan dilakukan,” katanya.

Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) pada 17 Ogos lepas mengesahkan terdapat isu buli dan kelesuan serta budaya kerja kurang sihat di KKM.

Pada 22 September lepas, Khairy Jamaluddin memaklumkan yang HWCITF mengesyorkan penggunaan sistem aduan MyHELP@KKM yang boleh diakses mulai Sabtu lepas bagi menangani kes buli di KKM.

Sistem aduan itu, katanya akan memudahkan pegawai membuat aduan kes buli secara langsung dan tindakan susulan dapat diambil segera menerusi tatacara yang telus serta menjaga kerahsiaan pelapor. - Bernama

Artikel Berkaitan: