MySejahtera diletakkan bawah bahagian baharu KKM

Aplikasi MySejahtera bakal diletakkan di bawah satu bahagian baharu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu Kesihatan Awam Digital. - Foto hiasan
Aplikasi MySejahtera bakal diletakkan di bawah satu bahagian baharu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu Kesihatan Awam Digital. - Foto hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Aplikasi MySejahtera bakal diletakkan di bawah satu bahagian baharu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu Kesihatan Awam Digital.

Ketua Setiausaha KKM, Datuk Harjeet Singh, memaklumkan, langkah itu akan menjadikan pengoperasian MySejahtera lebih teratur.

"Sejak pengawalseliaan MySejahtera telah dipindahkan kepada KKM pada 26 November 2021, beberapa perkara telah dilaksanakan bagi menentukan hala tuju aplikasi itu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, selepas mendapat kelulusan Kementerian Kewangan pada 24 Februari lalu untuk rundingan bersama MySJ Sdn Bhd (MySJ) Jawatankuasa Rundingan Harga yang telah ditubuhkan.

"Mesyuarat telah diadakan bersama MySJ dan dalam rundingan ini, kesemua pihak bersetuju untuk pemilikan kerajaan sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata, rundingan turut menyatakan dengan jelas bahawa tiada mana-mana pihak dibenarkan untuk menggunakan data di dalam MySejahtera.

"Data MySejahtera adalah terpelihara dan dimiliki sepenuhnya oleh KKM," katanya.

Harjeet berkata, kementerian juga dalam proses melantik perunding bebas untuk melihat kepada sebarang isu berkenaan dengan keselamatan MySejahtera yang boleh mengancam integriti data aplikasi tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Laporan keselamatan akan dikeluarkan dari masa ke masa dan dibincangkan dalam Jawatankuasa Teknikal MySejahtera," katanya.

Ujarnya, harga siling untuk perolehan MySejahtera adalah mengambil kira daripada dua tahun selepas tamatnya tempoh tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu dari 1 Mac 2021 hingga 1 April 2023, dan juga pelbagai modul yang telah diperkenalkan.

"Harga siling tersebut ditentukan melalui kajian dan kaedah functional point analysis (FPA) telah dijalankan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang berperanan sebagai penilai teknikal aplikasi dan merupakan agensi yang melihat kepada tadbir urus teknikal," katanya.

Beliau berkata, rundingan di antara kerajaan dengan MySJ adalah untuk perkhidmatan membangun dan menyelenggarakan 18 modul yang telah dilaksanakan oleh syarikat tersebut dan tidak termasuk tiga modul perkhidmatan CSR.

"Untuk perkhidmatan di masa hadapan, KKM kini sedang dalam usaha untuk menjalankan kolaborasi bersama pembangun aplikasi yang lain bagi pembangunan ciri-ciri lain di dalam MySejahtera," katanya.

Sebagai langkah permulaan, ciri paparan rekod pendermaan darah adalah melalui data yang disalurkan daripada Sistem Maklumat Tabung Darah (BBIS) kepada Sistem Perkongsian Maklumat Kesihatan sebelum ia diintegrasikan ke dalam aplikasi MySejahtera.

Merujuk kepada rumusan yang mengatakan kerajaan masih belum mendaftarkan harta intelek (IP) bagi aplikasi MySejahtera di MyIPO setakat April, Harjeet berkata, proses untuk mendaftarkan harta intelek telah bermula pada bulan Mac lalu.

"Sijil hak cipta MyIPO untuk MySejahtera telah diperoleh pada 2 Ogos," katanya.