Persiapan mental paling penting hadapi banjir

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara bakal mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November yang akan membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Cuaca dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu. Risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.

Susulan pemakluman tersebut, banyak negeri seperti Selangor, Pahang, Terengganu dan Sarawak menyatakan sudah bersiap sedia bagi menghadapi fenomena tersebut. Terbaharu, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali mengingatkan semua pihak berkuasa termasuk di setiap peringkat daerah dan negeri supaya bersiap sedia, khususnya memastikan bantuan disampaikan sekepada mangsa-mangsa.

Begitu juga dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang menyatakan teknologi satelit Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) untuk mengenal pasti lokaliti cenderung dilanda banjir akan digunakan, sekali gus dapat membuat persiapan awal.

Setiap negeri juga dilaporkan telah mengeluarkan jumlah kawasan panas banjir sebagai langkah berjaga-jaga kepada penduduk di kawasan berisiko bagi menghadapi kemungkinan berlaku fenomena berkenaan.

Jika dilihat kepada tindakan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan agensi berkaitan, boleh dikatakan persiapan rapi telah dibuat bagi menghadapi banjir.

Bagaimana pula dengan persiapan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir, adakah mereka sudah mengambil langkah awal menyimpan barangan berharga dan dokumen penting di tempat selamat?

MetMalaysia dalam kenyataan terbaharu meramalkan fasa peralihan monsun di dalam negara akan bermula pada 3 Oktober ini dan dijangka berterusan sehingga November.

Artikel Berkaitan:

Persiapan mental dan fizikal setiap individu bagi menghadapi situasi banjir adalah perkara paling penting kerana kerosakan kediaman serta harta benda mungkin boleh menyebabkan emosi terganggu. Begitu juga dengan pasca banjir kerana tenaga diperlukan bagi tugas-tugas pembersihan.

Pihak berkuasa juga dicadangkan supaya mula turun ke kawasan-kawasan panas berisiko banjir untuk menguar-uarkan kepada penduduk bagaimana persiapan dan apa perlu dilakukan bagi menghadapi bencana ini.