'Adakah kamu menyiasat saya, soal menteri kanan kepada SPRM'

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa telus dan profesional dalam menjalankan siasatan terhadap mana-mana pihak, yang didapati terlibat dalam isu penyalahgunaan kuasa mahu pun rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM tidak memilih bulu dalam menjalankan tanggungjawab mereka dalam memastikan undang-undang dapat ditegakkan.

Menurutnya, SPRM bukan hanya memfokuskan untuk menyiasat kes-kes kecil tetapi termasuklah kes yang melibatkan 'ikan jerung' di negara ini.

"Unsur berat sebelah ini kadangkala ia merupakan persepsi masyarakat, kita jalankan siasatan secara telus dan profesional, kita bila menyiasat kita pastikan keluhuran undang-undang itu dipatuhi, yang selalu timbul persepsi mereka yang terlibat yang rasa kita tak patut siasat.

"Kebebasan kami dalam menjalankan siasatan adalah terpelihara sebagai contoh saya pernah katakan ada satu menteri kanan pernah WhatsApp saya, dia tanya saya adakah kamu sedang menyiasat (SPRM ) sedang menyiasat saya, iya memang betul kami menyiasat kamu," katanya pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Program Bicara Naratif anjuran RTM sempena SPRM: 55 tahun memerangi rasuah.

Dalam pendedahan itu, Azam Baki tidak menamakan nama menteri kanan berkenaan.

Bagaimanapun tambahnya, sekiranya difikirkan semula kepada mereka yang bertanyakan kepada beliau sama ada kes itu dibawa ke mahkamah atau tidak ia perlu melalui peringkat Jabatan Peguam Negara terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi kalau difikirkan balik mereka yang pernah bertanya saya itu adakah dibawa ke mahkamah, kalau kes itu sudah tiada, tiadalah.

"Sebab itu bila kita menyiasat ada satu badan lagi yang akan menentukan dari segi integritinya iaitu Jabatan Peguam Negara, bukalah sebanyak mana kertas siasatan pun tetapi sekiranya tidak dipersetujui oleh jabatan itu sudah tentu kes itu tidak dituduh di mahkamah," katanya.

Tambahnya, perkara itu menunjukkan bahawa prinsip pengasingan kuasa di dalam negara ini berjalan dengan begitu baik.

"Model yang kita ada ini adalah model yang diamalkan hampir keseluruhan negara di dunia, waima di Amerika Syarikat mahu pun di United Kingdom, di mana kalau tanya saya secara peribadi lah rata-rata pegawai SPRM mungkin berfikiran yang sama di mana, mesti ada semak dan imbang.

"Kita tak boleh ada satu pusat kuasa, di mana kita yang jalankan siasatan, kita juga yang menentukan pendakwaan kes berkenaan, jadi kecenderungan saya risau saja pengawai SPRM kalau kita ada kuasa itu di mana akibat kemarahan kita, emosi kita, maka kita akan buka fail, kita siasat dan kita pasti dia kena tuduh," katanya.

Jelasnya, perkara itu akan dibimbanginya akan membawa kepada kemudaratan yang lebih teruk.

"Masyarakat pada masa akan datang akan memandangkan kami cenderung untuk mengambil tindakan ke atas satu pihak sahaja," tegasnya.