Johor bentuk jawatankuasa pelaburan khas

Onn Hafiz
Onn Hafiz
A
A
A

KERAJAAN negeri Johor membentuk satu Jawatankuasa Pelaburan Khas yang berfungsi sebagai platform menyelesaikan isu dihadapi para pelabur di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi hantaran di laman Facebook beliau berkata, jawatankuasa itu dianggotai pelbagai agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dari negeri Johor dan persekutuan.

"Usaha ini penting bagi meyakinkan para pelabur tentang komitmen kerajaan negeri dalam memudahcara operasi perniagaan, sekali gus menggalakkan lagi pelaburan khususnya yang berimpak dan berteknologi tinggi untuk terus berada di Johor," katanya.

Onn Hafiz berkata, beberapa perkara telah diutarakan termasuk penyediaan infrastruktur asas seperti utiliti dan jalan raya di kawasan industri, meningkatkan lagi acara konvensyen dan pameran domestik serta antarabangsa selain mengukuhkan kedudukan Johor sebagai hab sekuriti makanan, serta ‘harapan’ yang diperlukan sesetengah taman perindustrian.

"Sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu Johor merekodkan pelaburan RM60.9 bilion bagi separuh pertama tahun ini.

"Insya-ALLAH, kerajaan negeri tidak akan berpeluk tubuh dengan pencapaian ini. Malah, jawatankuasa ini kini fokus untuk mengenal pasti dan meneliti penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi pelabur," katanya.

Onn Hafiz berkata, kerjasama yang ditunjukkan semua ahli Jawatankuasa Pelaburan Johor (JIC) akan terus memacu pelaburan di Johor dan membawa limpahan ekonomi secara berterusan ke negeri itu, untuk kesejahteraan rakyat pada masa akan datang. - Bernama

Artikel Berkaitan: