Lapan ditahan kes gaduh di pusat hiburan

Seorang lelaki meninggal dunia, manakala dua lagi lelaki cedera dalam kejadian pergaduhan di kawasan pusat hiburan di Jalan Tun Razak pada Isnin.
Seorang lelaki meninggal dunia, manakala dua lagi lelaki cedera dalam kejadian pergaduhan di kawasan pusat hiburan di Jalan Tun Razak pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai lapan individu termasuk dua wanita warga Afrika ditahan kerana disyaki terlibat dalam insiden pergaduhan di kawasan pusat hiburan sekitar Jalan Tun Razak di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kes pergaduhan itu pada jam 5.35 pagi.

"Seorang lelaki warga Afrika dilaporkan meninggal dunia, manakala dua lagi lelaki warganegara sama cedera dan dirawat di sebuah hospital swasta," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ashari berkata, hasil siasatan mendapati, mangsa dan rakannya bergaduh dengan sekumpulan lelaki warga asing.

"Mangsa mengalami kecederaan parah dan terdapat kesan luka akibat tetakan di belakang lehernya," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan di sekitar Kuala Lumpur.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel Berkaitan: