Shahril Hamdan tempelak Rafizi isu siasatan Tommy Thomas

Tangkap layar kenyataan dimuat naik Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan di laman Facebooknya.
Tangkap layar kenyataan dimuat naik Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan di laman Facebooknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menempelak kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yang mendakwa UMNO sengaja memainkan sentimen perkauman berkaitan isu siasatan ke atas bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Beliau berkata, berkemungkinan Rafizi cuba mereka persepsi bahawa UMNO membangkitkan isu tersebut kerana Tommy Thomas adalah bukan Melayu.

"Ingin ditegaskan, kalau nama dia Taufik, Talib, Tahir dan dia tulis buku sama pun patut disiasat.

"Ini soal integriti dan ketelusan bukan perkauman," katanya dalam kenyataan di laman Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, Sinar Ahad melaporkan UMNO didakwa sengaja menggunakan isu siasatan ke atas buku tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas untuk membangkitkan sentimen perkauman supaya orang Melayu menyokong mereka.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dilaporkan berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya dibangkitkan oleh UMNO kerana isu terbabit telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Shahril menjelaskan antara isu berbangkit dalam buku beliau (Tommy) dan dakwaan yang dibuat adalah menggambarkan bahawa Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein mendalangi insiden paling hitam iaitu 13 Mei 1969.

"Selain Tommy Thomas berpengaruh dan lantikan hakim dibuat berdasarkan cadangan beliau ‘yang arif dengan semua Hakim Mahkamah Persekutuan’.

Artikel Berkaitan:

"Kematian Allahyarham Muhammad Adib disebabkan oleh kenderaan bomba dan bukan kerana dipukul seperti yang telah didedahkan oleh Mahkamah Koroner.

"Kalau hendak tuduh main sentimen perkauman, Tommy Thomas lebih sesuai dituduh melakukan perkara tersebut," ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan kerajaan untuk menyiasat Tommy Thomas dan respon UMNO kepada keputusan itu tiada kena mengena dengan perkauman.

Ujarnya lagi, dakwaan Tommy Thomas menimbulkan tanda tanya mengenai integriti dan ketelusan institusi Peguam Negara di bawah kepimpinannya.

Shahril menambah Rafizi minta siasatan terhadap kapal tempur pesisir (LCS) kerana perkara tersebut melibatkan integriti dan ketelusan sesebuah kerajaan.

"Kerajaan telah mendedahkan beberapa laporan penting kepada umum.

"Jadi apa salahnya apabila UMNO bangkitkan perkembangan mengenai siasatan pasukan petugas terhadap Tommy Thomas?

"Adakah Rafizi merasakan bahawa integriti dan ketelusan dituntut hanya apabila Barisan Nasional (BN) terlibat?" soal Shahril.