Nasihat berguna TMJ buat Arif Aiman

Arif Aiman menghargai nasihat Tunku Ismail yang akan menjadi pedoman buatnya. - Foto Agensi.
Arif Aiman menghargai nasihat Tunku Ismail yang akan menjadi pedoman buatnya. - Foto Agensi.
A
A
A

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menitip pesanan berguna buat pemain sayap sensasi Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi dalam laman sosial Instagram.

Baginda berkata, pemain muda itu harus sentiasa merendah diri dan tetap disiplin walaupun diri berada di atas.

Nasihat ini dicatat Tunku Ismail menerusi akaun Instagram miliknya di ruang komen Instagram Arif Aiman.

“Bagus Arif. Kekal merendah diri dan tetap berdisiplin. Kau masih muda dan perjalanan masih jauh,” catat Tunku Ismail.

Pemilik JDT itu turut mendoakan Arif Aiman diberkati oleh Allah dan diberi banyak lagi rezeki serta kejayaan di mana sahaja pemain itu berada terutamanya dalam bidang bola sepak.

“Jaga diri,” catat Tunku Ismail.

Catatan itu dibalas Arif Aiman menerusi tekad dan janji untuk sentiasa mengingati pesanan TMJ.

“Junjung kasih Tunku atas segalanya. Saya akan sentiasa ingat semua pesanan Tunku. Insya-ALLAH,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pemain berusia 20 tahun itu berjaya membawa JDT menang dalam saingan Liga Super untuk merangkul kejuaraan kesembilan berturut-turut buat skuad Harimau Selatan.

JDT pada awal musim ini meraih Piala Sumbangsih serta Piala FA dan skuad Harimau Selatan juga dalam pemburuan Piala Malaysia untuk bergelar quadruple.