Pelajar madrasah ditemukan lemas

Beberapa anggota BBP Langkawi membawa naik mayat pelajar yang lemas di Hutan Lipur Lubuk Semilang, Langkawi pada Isnin. - Foto ihsan JBPM Kedah
Beberapa anggota BBP Langkawi membawa naik mayat pelajar yang lemas di Hutan Lipur Lubuk Semilang, Langkawi pada Isnin. - Foto ihsan JBPM Kedah
A
A
A

LANGKAWI - Seorang pelajar madrasah dari Banting, Selangor yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dalam sungai di Hutan Lipur Lubuk Semilang, di sini, ditemukan lemas pada Isnin.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Zamani Ismail berkata, mayat remaja berusia 15 tahun ditemukan jam 11.40 pagi.

"Mayat mangsa dibawa ke tebing sungai untuk pengesahan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mayat pelajar lelaki itu seterusnya dibawa turun sejauh satu kilometer (km) ke kawasan parkir kenderaan dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau memberitahu, operasi pencarian diketuai Ketua Operasi (KO) Penolong Kanan Penguasa Bomba, Sallehuddin Darawi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.50 tengah hari.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan, seorang remaja dikhuatiri lemas selepas tergelincir dan terjatuh dalam sungai di Hutan Lipur Lubuk Semilang, Langkawi.

Menurut saksi, mangsa bersama tujuh rakan sedang bermain air di kawasan tersebut sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai tersebut.

Beberapa orang rakan cuba menyelamatkan mangsa namun gagal dan saksi terus menghubungi pasukan penyelamat dan memaklumkan perihal kejadian.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Pusat Gerakan Operasi JBPM Negeri Kedah telah menerima satu panggilan kes mangsa lemas di Hutan Lipur Lubuk Semilang, Langkawi Kedah, melalui talian MERS 999 pada jam 9.55 pagi.

Beliau memberitahu, sepasukan lapan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi diketuai Komander Operasi (KO), Penolong Kanan Penguasa Bomba Sallehuddin Darawi digerakkan ke lokasi kejadian.