Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah siap sedia

Mastura Yazid
Mastura Yazid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Daerah (JPBD) sudah bersiap sedia menghadapi banjir yang dijangka berlaku akhir tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Yazid berkata, Pasukan Petugas Persediaan Monsun Timur Laut (MTL) sudah ditubuhkan di bawah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali bagi memastikan jawatankuasa itu berada pada tahap yang optimum.

"Mesyuarat task force akan diadakan secara berkala sehingga MTL bermula. Seramai 76,336 pegawai dan anggota agensi tindak balas di semua peringkat termasuk daerah berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya.

"Semua aset berjumlah 22,622 meliputi darat, air, udara, perubatan dan lain-lain," katanya semasa pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Rubiah Wang (GPS - Kota Samarahan) yang bertanyakan status JPBD di seluruh negara bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir di negara ini.

Mastura menambah, dari aspek pemantauan dan amaran awal, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah bersedia dengan 1,312 buah stesen telemetri hujan dan aras air, 526 siren amaran banjir dan 1,571 tolok lurus sedia serta 184 pam bergerak.

Selain itu katanya, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM50,000 kepada setiap daerah, manakala peruntukan berjumlah RM1.08 juta disalurkan kepada lapan agensi tindak balas iaitu sebanyak RM100,000 bagi setiap agensi.

"Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) juga menyalurkan peruntukan sebanyak RM30,000 bagi pembekalan dua bot fiber berenjin untuk setiap daerah berserta jaket keselamatan. Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) akan melaksanakan perolehan bot tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Bagi pengurusan mangsa, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan sebanyak 6,010 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara untuk menempatkan seramai 1,620,855 orang mangsa.

"Pihak JKM juga bersiap siaga memaksimumkan fasiliti penyimpanan bantuan bencana di seluruh negara di lapan buah Depot Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) di seluruh negara yang menjadi stor utama penyimpanan bekalan.

"Selain daripada itu, JKM juga mempunyai sebanyak 140 stor bencana di peringkat negeri dan daerah termasuk 53 mini depoh (kontena)," ujarnya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada September meramalkan, negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November depan, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.