UMNO sibuk desak PRU, wakil rakyat PKR berlatih kayak

Nurul Izzah turut menyertai latihan berkayak semasa program simulasi banjir di Permatang Pauh pada Ahad. - Foto Facebook Nurul Izzah
Nurul Izzah turut menyertai latihan berkayak semasa program simulasi banjir di Permatang Pauh pada Ahad. - Foto Facebook Nurul Izzah
A
A
A

SHAH ALAM - Wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) mewakili Pulau Pinang, Perlis dan Kedah menjalani latihan berkayak sebagai sebahagian daripada program simulasi banjir di Permatang Pauh pada Ahad.

Perkara itu dikongsikan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menerusi hantaran di Facebook.

"Alhamdulillah, setelah mendapat panduan dan maklum balas Tuan Hairuddin, Ketua Zon 3, wakil-wakil rakyat keadilan mewakili Pulau Pinang, Perlis dan Kedah selesai praktis berkayak.

"Dilaporkan di Kuala Mengkuang, Permatang Pauh hari ini tidak ada seorang pun ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) atau ahli Parlimen Keadilan yang tenggelam ketika latihan," katanya berseloroh.

Beliau yang juga Naib Presiden PKR sebelum itu dalam hantaran sama menegaskan, sejak awal kerajaan sama ada di peringkat pusat atau negeri digesa menumpukan persediaan menghadapi bencana.

"Bermula dengan perbahasan tentang siap siaga bencana banjir, musim tengkujuh dan darurat iklim di Parlimen tahun lalu, disambung dengan mesyuarat Jawatankuasa Bencana Daerah, melakar laluan program simulasi banjir hari ini.

"Kita usahakan pemberian aset yang dipinta oleh Polis Diraja Malaysia, bomba dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sementara mereka menunggu kelulusan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma). Tambahan, ahli-ahli Parlimen masih menunggu deraf RUU Akta Pengurusan Bencana yang sepatutnya disiapkan oleh Nadma pada Mei lepas," katanya.

Tambah Nurul Izzah, pihaknya juga membantu menyediakan kit banjir buat kanak-kanak memandangkan yang tersedia hanya buat golongan dewasa.

Artikel Berkaitan:

"Malangnya, UMNO terus membelakangkan keselamatan rakyat dan memaksa agar pilihan raya diadakan segera. Kita sibuk hadapi bencana, mereka sibuk desak pilihan raya. Apapun, kita terus berkhidmat, Insya-ALLAH," katanya.