'Chef' air ketum diberkas

Antara rampasan susulan penahanan seorang lelaki dalam serbuan kegiatan memproses dan menjual air ketum di sebuah rumah di Taman Setapak, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Antara rampasan susulan penahanan seorang lelaki dalam serbuan kegiatan memproses dan menjual air ketum di sebuah rumah di Taman Setapak, Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah rumah di Taman Setapak, di sini yang dijadikan tempat memproses air ketum terbongkar selepas diserbu polis pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, serbuan kira-kira jam 8.30 malam itu dijalankan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju hasil aduan awam.

Menurutnya, serbuan itu berjaya menahan seorang lelaki disyaki berperanan sebagai tukang masak dan penjual air ketum.

Polis telah merampas 37 botol air ketum, 780 bungkusan plastik mengandungi daun ketum dan lima botol cecair disyaki berisi ubat batuk.

"Turut dirampas adalah peralatan memproses air ketum antaranya dua periuk besar, periuk kecil (1), tong gas (2), satu set peralatan dapur gas, alat penimbang dan alat penapis," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek dipercayai aktif dalam pemprosesan dan pengedaran air ketum sejak awal bulan Mei lalu.

Katanya, suspek berusia 30 tahun itu kini direman selama empat hari sehingga Selasa.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dimajukan ke pejabat timbalan pendakwa raya untuk arahan lanjut," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, Polis Wangsa Maju ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang membantu memberikan maklumat dan juga ingin menyeru kepada orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan dan maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.