Kastam Johor rampas tayar kereta mewah

Sazali menunjukkan tayar import untuk kereta mewah yang dirampas daripada dua MPV, selepas sidang akhbar di Menara JKDM Johor, Larkin, pada Ahad.
Sazali menunjukkan tayar import untuk kereta mewah yang dirampas daripada dua MPV, selepas sidang akhbar di Menara JKDM Johor, Larkin, pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Cubaan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard menyeludup tayar kereta mewah yang diimport gagal apabila ditahan Taman Cemerlang Lancar, Senai, dekat sini pada 26 September lalu.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, Sazali Mohamad berkata, kedua-dua MPV berkenaan ditahan pada jam 10 malam selepas diekori pasukan penguat kuasa JKDM Johor dari pintu masuk sempadan negara di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah di sini.

"Hasil pemeriksaan anggota Bahagian Penguatkuasaan Sungai Pulai, JKDM Johor ke atas dua MPV berkenaan mendapati tayar pelbagai jenama dan saiz disumbat dalam kenderaan itu.

"Terdapat 69 tayar baharu pelbagai jenama dan saiz dipercayai tidak berkastam yang diimport dari luar negara dalam kedua-dua MPV berkenaan.

"Tayar yang diseludup ini adalah tayar bagi kenderaan mewah dengan saiz 19 inci ke atas," katanya dalam sidang akhbar di Menara JKDM Johor di sini pada Ahad.

Beliau berkata, anggaran nilai tayar baharu yang disita ini adalah RM41,400 manakala jumlah duti atau cukai yang terbabit RM19,500.

Katanya, sindiket penyeludupan itu menggunakan modus operandi dengan menyeludup masuk sejumlah dagangan tayar baharu pelbagai jenama dan saiz dari negara jiran tanpa sebarang pengikraran.

"Mereka akan membawa barangan ini melalui laluan penumpang di pintu masuk negara dekat selatan tanah air," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, turut disita kedua-dua Toyota Alphard yang bernilai RM80,000.

"Kedua-dua pemandu MPV yang berusia antara 36 hingga 41 tahun itu kemudian ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barang larangan tidak berkastam," katanya.