Ambil kira kepentingan rakyat sebelum bubar Parlimen

Ahmad Faizal pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pelepasan bagi program KBS Trail Run 'Love Nature for Our Future' 2022 di Taman Cabaran, pada Ahad. - Foto Bernama
Ahmad Faizal pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pelepasan bagi program KBS Trail Run 'Love Nature for Our Future' 2022 di Taman Cabaran, pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Parti Bersatu mahu kepimpinan UMNO mengambil kira kepentingan rakyat sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, UMNO tidak seharusnya menumpukan perhatian kepada usaha mendapatkan kuasa pemerintahan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira keadaan cuaca, kesiapsiagaan anggota keselamatan dan perbelanjaan negara sekiranya PRU15 diadakan.

"Bersatu ingin kerajaan memberi fokus kepada persiapan untuk mengadakan PRU. Apakah cukup anggota polis, adakah dengan enam negeri yang telah mengatakan tidak akan mengadakan PRU pada tahun ini akan meningkatkan perbelanjaan negara?

"Perkara ini perlu diambil perhatian yang serius, kerana kita bukan tertumpu untuk mendapatkan kuasa pemerintahan, tetapi juga kepentingan rakyat sebagai satu perkara paling utama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelepasan Program KBS Trail Run "Love Nature for Our Future” 2022 di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang mahu Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini.

Jumaat lepas, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan cadangan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan. - Bernama

Artikel Berkaitan: