Cungkil bakat ragbi peringkat daerah, Felda

Tengku Hassanal Ibrahim (tebgah) diperkenalkan barisan pemain oleh Fadzli (dua dari kanan) dalam kejohanan tersebut yang berlangsung di Kompleks Rakan Muda Dong dekat Raub pada Sabtu
Tengku Hassanal Ibrahim (tebgah) diperkenalkan barisan pemain oleh Fadzli (dua dari kanan) dalam kejohanan tersebut yang berlangsung di Kompleks Rakan Muda Dong dekat Raub pada Sabtu
A
A
A

RAUB - Sukan ragbi wajar diperluaskan di peringkat daerah serta Felda dalam usaha mencungkil lebih ramai pemain dalam sukan tersebut.

Penaung Persatuan Ragbi Daerah Raub, Fadzli Mohd Kamal memberitahu, kewujudan persatuan ragbi di setiap daerah dapat mencungkil bakat baharu yang boleh diketengahkan ke peringkat negeri dan kebangsaan.

Menurutnya, ia dapat dilihat dengan perkembangan positif termasuk penglibatan wanita di negara ini.

"Jika dilihat sukan ini sudah berkembang dalam kalangan wanita malahan pembabitan pelajar di peringkat sekolah rendah dan menengah menerusi permainan ragbi sentuh turut mendapat sambutan yang menggalakkan.

"Kewujudan persatuan ragbi di setiap daerah disifatkan sebagai medan terbaik bagi mencungkil bakat baharu sekaligus memeriahkan lagi arena sukan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kejohanan Ragbi Jemputan Raub 10 Sebelah di Kompleks Rakan Muda Dong, Raub di sini pada Sabtu.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat mencemar duli menyempurnakan majlis perasmian kejohanan tersebut.

Barisan pemain Raub Rugby girang dengan kejayaan mereka muncul juara kejohanan tersebut.
Barisan pemain Raub Rugby girang dengan kejayaan mereka muncul juara kejohanan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejohanan tersebut, sebanyak lapan pasukan dari enam buah negeri berentap dalam kejohanan ragbi berkenaan.

Fadzli berkata, pasukan terlibat iaitu Ipoh Lions (Perak), Sembilang Dria (Penang), Kluang RC (Johor), Royal Selangor Club (Selangor), KL Saracens (Kuala Lumpur), Jerantut Jbok, Kuantan Polymix dan Raub Rugby (Pahang).

"Sambutan yang diberikan terhadap kejohanan ini sangat memberangsangkan dan kita merancang untuk anjurkan banyak lagi kejohanan membabitkan pelbagai kategori selepas ini," kata beliau.

Dalam kejohanan yang julung kalinya dijalankan, pasukan Raub Rugby muncul juara selepas menewaskan Ipoh Lyon, 7-5 dalam perlawanan akhir manakala tempat ke-3 dimenangi wakil Pulau Pinang, Sembilang Dria menundukkan Jerantut Rugby terpaksa berpuas hati di tempat ke-4.

Selain piala dan medal, juara membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 manakala naib juara (RM2,000) dan tempat ke-3, RM1,000 dan RM500 bagi tempat ke-4.