Kerajaan timbang beri kebenaran eksport ayam semula

Ahmad (dua, kiri) melihat bekalan anak ayam ketika hadir sempena merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Program Rezeki Ternak Unggas dan Projek Pertanian Organik Peringkat Parlimen Jasin di Merlimau pada Sabtu. - Foto Bernama
Ahmad (dua, kiri) melihat bekalan anak ayam ketika hadir sempena merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Program Rezeki Ternak Unggas dan Projek Pertanian Organik Peringkat Parlimen Jasin di Merlimau pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

JASIN - Kerajaan akan mempertimbangkan untuk memberi semula kebenaran mengeksport ayam ke luar negara, berikutan bekalan dalam pasaran negara kembali stabil selain pengeluarannya melebihi permintaan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, pengumuman mengenai perkara itu dijangka dibuat pada masa terdekat dalam bulan ini.

"Kementerian telah pun berjaya menyelesaikan apa jua aduan dan rungutan orang ramai berkaitan isu kekurangan ayam dan telur yang dihadapi sebelum ini, dan pada masa kini bekalannya telah berlebihan.

"Perkara ini telah diteliti di peringkat kementerian setelah menerima permohonan daripada penternak-penternak,” katanya kepada pemberita di Merlimau di sini pada Sabtu.

Terdahulu beliau menyempurnakan majlis penyerahan Bantuan Program Rezeki Ternak Unggas dan Projek Pertanian Organik Peringkat Parlimen Jasin yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhammad Akmal Salleh dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Dr Akma Hamid.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, ketika ini tahap sara diri (SSL) untuk ayam ialah 104 peratus, manakala SSL bagi telur adalah 115 peratus dan melepasi permintaan dalam negara.

Katanya, sebelum ini kerajaan hanya membenarkan sebanyak 3.6 juta ekor ayam di eksport ke luar negara sebelum dihentikan pada 1 Jun lepas, bagaimanapun jumlah sebenar yang dibenarkan selepas ini akan diketahui dalam pengumuman yang dibuat.

"Jadi kita tunggu sahajalah kerajaan akan umumkan mengenai perkara ini sedikit masa lagi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, media melaporkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi akan meneliti untuk menetapkan harga siling ayam dan mengkaji untuk membenarkan produk tersebut dieksport semula. - Bernama