Kertas siasatan kes Tommy dirujuk ke Pejabat Peguam Negara

Tommy
Tommy
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kertas siasatan berkaitan buku bertajuk 'My Story: Justice in the Wilderness' yang ditulis bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara pada Isnin.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berkaitan buku terbabit.

Menurutnya, percakapan bekas Peguam Negara tersebut juga telah selesai dijalankan oleh PDRM.

"Kertas siasatan yang telah diperkemaskan akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara pada 3 Oktober 2022 (Isnin) untuk arahan selanjutnya.

"Ini susulan laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan ke atas dakwaan-dakwaan dalam buku bertajuk 'My Story: Justice in the Wilderness' yang telah ditaklimatkan kepada Jemaah Menteri dan arahan yang disampaikan oleh Perdana Menteri agar siasatan lanjut segera dilaksanakan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan agensi penguat kuasa segera melaksanakan siasatan lanjut bagi menyiasat kemungkinan salah laku Tommy berhubung pelbagai dakwaan yang terkandung dalam buku itu.

Siasatan akan dilakukan antaranya di bawah Seksyen 124(1) dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972; dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Berdasarkan siasatan, pasukan khas itu telah mengkategorikan 19 isu penting yang dikesan dalam buku berkenaan kepada empat isu utama iaitu dakwaan ke atas badan kehakiman, pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan, tindakan tidak sah, salah guna kuasa serta kecuaian profesional dan kenyataan berbaur hasutan.

Artikel Berkaitan: