Beri peluang sepenggal lagi: Prabakaran

Prabakaran
Prabakaran
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran berharap diberikan peluang satu penggal lagi bertanding di kerusi Batu bagi membantu menyelesaikan masalah penduduk yang masih tertangguh.

Beliau berkata, tempoh singkat menjadi kerajaan dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik Covid-19 telah menyebabkan banyak isu di Parlimen Batu belum dapat diselesaikan.

Menurut Prabakaran, beliau yakin memiliki sokongan majoriti berbanding calon lain berdasarkan maklum balas positif yang diterima dalam kalangan komuniti.

"Saya boleh kata sokongan terhadap saya lebih tinggi daripada calon-calon lain kerana PKR tidak dapat masuk banyak tempat sebelum ini namun selepas saya menang, saya berani masuk ke semua kawasan Parlimen Batu. Semua masalah saya tahu dan cara selesai pun saya tahu.

"Cuma tempoh kerajaan (Pakatan Harapan) tidak sampai dua tahun jadi tidak dapat menyelesaikan semua masalah. Tambahan pula, ketika Covid-19 banyak kakitangan agensi bekerja dari rumah, lepas peralihan pendemik, baru dapat sambung kerja," katanya ditanya statusnya di Parlimen Batu bagi PRU15.

Ditanya sama ada beliau akan bergerak sebagai calon bebas sekiranya terlepas menjadi calon di Parlimen tersebut beliau berkata, akan akur dengan keputusan parti.

"Berkaitan kedudukan saya di Batu, memang saya ada niat nak bertanding namun saya serahkan pucuk pimpinan tentukan.

" Kita ada sistem yang sangat baik yang digunakan dalam parti, calon-calon yang mahu bertanding perlu lalui proses peringkat cabang, negeri, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan presiden yang penilaian dibuat secara berperingkat.

Artikel Berkaitan:

" Bagi saya tiada masalah (jika tidak dicalonkan), cuma saya harap dapat peluang sekali lagi untuk selesaikan masalah yang belum selesai," katanya.