Bina pangkalan data jejaki waris Tok Deraman Perkasa

Antara waris Tok Deraman Perkasa yang hadir ketika perjumpaan keluarga itu di Lanchang.
Antara waris Tok Deraman Perkasa yang hadir ketika perjumpaan keluarga itu di Lanchang.
A
A
A

TEMERLOH - Titisan Tok Deraman Perkasa (TTDP) akan membina satu pangkalan data untuk menjejaki lebih ramai keturunan keluarga itu.

Tok Deraman Perkasa adalah berketurunan Bugis dari Sulawesi Selatan yang merupakan datuk kepada Abdul Rahman Tuanku Imam Nuh atau dikenali sebagai Tok Bahaman.

Pengerusi Penaja TTDP, Profesor Datuk Mohd Najib Dawar berkata, sehingga kini mereka sudah menjejaki sehingga tujuh generasi yang menetap di negeri Pahang, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan Johor.

Menurutnya, sehingga kini, mereka sudah menjejaki sehingga tujuh generasi yang dijangka melebihi 10,000 ahli keluarga dikenal pasti menetap di negeri Pahang, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan Johor.

“Kita akan bina satu pangkalan data untuk kemas kini semua data yang diperoleh dan ini akan memudahkan kita menjejaki lebih ramai lagi keturunan Tok Deraman Perkasa.

"Setakat ini, kita sudah menjejaki sebahagian keturunan dari tiga anak Tok Deraman Perkasa iaitu Tok Omar, Tok Rokiah dan Tok Imam Kassim.

“Jika kita sudah ada pangkalan data yang lengkap, secara tidak langsung bolehlah kita melengkapkan sejarah berkaitan pahlawan di Pahang khususnya di Semantan yang berkait rapat dengan Tok Bahaman serta pahlawan seangkatan dengannya,” katanya.

Mohd Najib berkata, satu pertemuan buat kali pertama keturunan TTDP telah diadakan menerusi Majlis Tahlil Perdana dan Jamuan TTDP di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), di Lanchang di sini baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, lebih 2,000 ahli keluarga keturunan Tok Deraman Perkasa yang berkumpul buat pertama kali sebagai inisiatif mereka merapatkan silaturahim selain mengambil peluang mengetahui salasilah keturunan kepahlawanan Melayu di negeri Pahang.

Dalam pada itu, Najib berkata, TTDP juga sedang berusaha untuk menubuhkan koperasi yang akan membantu meningkatkan ekonomi dalam kalangan ahli TTDP selain menjadikan koperasi itu satu platform untuk mengembalikan hak milik nenek moyang yang pernah diterokai sebelum ini.

“Kita ada dengar cerita perihal tanah yang perlu diterokai oleh Tok Deraman Perkasa termasuk anak dan cucu-cucunya, namun kita tiada bukti sahih sebab tiada pemilikan terhadap tanah-tanah itu.

“Sebab itu kita rancang untuk membuat penepatan cicit piut keturunan ini, mana-mana yang tidak berkemampuan boleh mengusahakan plot-plot tanah tertentu. Kita cadang untuk 'reverse migration' yang mana orang di bandar berpindah ke kampung dan majukan kampung," katanya.

Sementara itu, bagi Baharin Ibrahim, 72 dari keturunan Tok Rokiah yang kini menetap di Kuala Lumpur, beliau gembira dan menyifatkan usaha menghimpunkan semua keturunan ini sangat bagus kerana bukan sahaja boleh menjejaki warisan keturunan Tok Deraman Perkasa, malah dapat menambah fakta-fakta sejarah berkaitan keturunan ini.

Menurutnya, masih banyak fakta sejarah yang boleh dicungkil melalui ahli keluarga yang ada ini, dan berharap ia dapat dimasukkan dalam pangkalan data untuk rujukan generasi akan datang.

"Saya harap aktiviti seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Sekurang-kurangnya kita dapat mengenali lebih rapat dengan ahli keluarga kerana sebelum ini hanya keturunan dari cucu Tok Deraman sahaja berkumpul antara mereka.

"Kali ini, lebih besar apabila kita gabung keturunan dari tiga cucu Tok Deraman Perkasa dan saya percaya akan lebih ramai tampil selepas ini untuk mengembangkan lagi susur galur yang masih dijejaki," kata beliau.