Azi masih belum pulang ke pangkuan keluarga

Mesej memberitahu Azi belum pulang ditampal di pagar rumah keluarga itu di Tumpat.
Mesej memberitahu Azi belum pulang ditampal di pagar rumah keluarga itu di Tumpat.
A
A
A

TUMPAT - Ejen produk kosmetik yang menjadi mangsa culik sekumpulan lelaki di Kampung Semat Jal, di sini bulan lalu, masih belum pulang ke pangkuan keluarga setakat tengah hari Sabtu.

Mangsa, Rosnazirah Mohd Naim, 36, atau Azi diselamatkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan bantuan Polis Thailand dan telah dibawa pulang ke Malaysia pada Khamis lalu.

Kakak mangsa yang enggan dikenali berkata, keluarga masih tertunggu-tunggu kepulangan Azi ke rumahnya di Tumpat sejak mendapat berita wanita itu berjaya diselamatkan.

“Kami masih menanti kepulangan Azi dan belum tahu apa-apa selain hanya menunggu sahaja.

“Kami ada berhubung dengan pihak polis tetapi belum menerima jawapan bila Azi akan dibawa pulang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Dalam pada itu, dia turut menafikan khabar angin bahawa Azi dikatakan sudah pulang ke rumah keluarganya itu.

“Saya ada di rumah Azi sekarang ini bersama-sama keluarga menunggu, dia memang belum pulang lagi.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, kita tunggu sajalah,” katanya.

Sementara itu, ibu Azi melalui satu rakaman suara yang dikongsikan menerusi aplikasi WhatApps meminta pihak media memberi ruang kepada mereka sekeluarga ketika ini.

“Cukuplah datang. Saya dah tak ada apa-apa nak diberitahu.

“Nantilah tunggu dia balik, kita pakat dengar cerita apa yang dia nak beritahu,” jelasnya.

Pada Khamis, Acryl Sani menerusi satu kenyataan memaklumkan mangsa penculikan itu berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke tanah air selepas kedudukannya dapat dikesan hasil bantuan serta kerjasama erat antara pihak berkuasa Thailand dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Seramai tujuh lelaki tempatan ditahan dalam kes berkenaan di tiga negeri iaitu Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur.