JDT II juara baharu Liga Premier

Para pemain JDT II meraikan kejayaan merangkul kejuaraan Liga Premier 2022 di Stadium UiTM, Shah Alam sebentar tadi. - Foto Agensi.
Para pemain JDT II meraikan kejayaan merangkul kejuaraan Liga Premier 2022 di Stadium UiTM, Shah Alam sebentar tadi. - Foto Agensi.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] JohorDarul Ta'zim II (JDT II) memahat sejarah baharu apabila merangkul trofi Liga Premier buat julung kali sejak kejohanan divisyen dua itu diperkenalkan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) pada 2004.

Pengesahan kejuaraan itu dinoktahkan setelah skuad bimbingan Mariano Echeverria menewaskan Selangor FC 2 dengan keputusan 1-0 dalam saingan terakhir musim ini di Stadium UiTM, Shah Alam sebentar tadi.

Gol kemenangan skuad dari selatan tanah air itu dihasilkan pemain sensasi, Daryl Sham pada awal separuh masa kedua.

JDT II yang hanya memerlukan satu mata untuk dinobatkan sebagai juara menguasai babak pertama dan hampir menemui sentuhan gol, namun percubaan Hazwan Bakri sedikit tersasar pada minit ke-12.

Skuad kendalian Rusdi Suparman yang banyak berkampung di kubu sendiri sesekali cuba mengatur gerak, namun dikecewakan penyudah yang tumpul.

Memasuki babak kedua, skuad Harimau Selatan tidak menunggu lama untuk meledak apabila Daryl menemui gawang gol untuk mendahului pada minit ke-49.

Pasukan tuan rumah kemudian menukar taktikal apabila membawa masuk tiga tenaga baharu untuk mencari gol penyamaan.

Ia hampir membuahkan hasil menerusi Haiqal Haqeemi Hairi pada minit ke-85, namun sepakannya mudah diselamatkan penjaga gol lawan, Izham Tarmizi.

Artikel Berkaitan:

Berbaki ke penghujung perlawanan, tiada sebarang gol dihasilkan dan keputusan kekal memihak JDT II.

Menerusi kemenangan itu, skuad Harimau Selatan mengumpul 42 mata hasil 13 kemenangan dan tiga seri, manakala Kelantan FC pula masih boleh berasa lega apabila muncul sebagai naib juara.

Pada aksi di Kota Bharu itu, Kelantan FC diikat pasukan jiran setempat Kelantan United FC dengan keputusan 1-1.

Kelantan FC mengumpul 37 mata 11 kemenangan dan empat keputusan seri.

Dalam pada itu, selepas mengharungi 18 aksi liga, penyerang sensasi Kuching City, Abu Kamara dinobatkan sebagai penjaring terbanyak dengan 11 gol.

Pencapaian terbaik JDT II sebelum ini ialah apabila muncul naib juara Liga Premier pada 2019.

Kejayaan memenangi trofi itu menambah catatan sejarah gemilang JDT pada musim ini setelah skuad JDT III meraih kejuaraan Piala Presiden baru-baru ini.

Skuad utama, JDT pula berada di ambang menjulang trofi Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut.

Biarpun musim 2022 belum berakhir, pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui ini merupakan tahun yang gemilang buat skuad Harimau Selatan di atas beberapa kejayaan yang diraih pasukan senior hingga ke junior.