Semangat membara Gergasi Merah

Cheng Hoe mengendali sesi latihan Selangor FC menjelang aksi berdepan Melaka United di Stadium MBPJ pada Sabtu. - Foto Facebook Selanor FC
Cheng Hoe mengendali sesi latihan Selangor FC menjelang aksi berdepan Melaka United di Stadium MBPJ pada Sabtu. - Foto Facebook Selanor FC
A
A
A

PENGENDALI baharu Selangor FC, Tan Cheng Hoe sudah tidak sabar untuk memulakan tugasan pertamanya bersama The Red Giants apabila turun menentang Melaka United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Sabtu.

Meskipun sudah lama berehat daripada mengendalikan mana-mana pasukan tempatan, beliau percaya sentuhannya masih tidak ‘berkarat’ apabila menyasarkan untuk meraih tiga mata penuh pada perlawanan tersebut.

“Sejujurnya saya memang teruja dan tidak sabar untuk perlawanan pertama saya bersama Selangor. Bagi saya, ini merupakan permulaan yang sangat baik selepas lama berehat daripada melatih mana-mana pasukan.

Saya nampak suasana cukup baik dan setiap pemain juga sangat mesra antara satu sama lain. Malah, saya nampak pemain-pemain juga sangat komited dalam latihan dan itu yang buat saya gembira.

“Jadi, untuk perlawanan ini, sudah tentu saya mahukan kemenangan kerana ia akan membantu keyakinan pemain dan juga penyokong Selangor FC,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Untuk rekod, Cheng Hoe ialah jurulatih ketiga Selangor FC musim ini selepas Michael Feichtenbeiner dan Nidzam Jamil yang dilantik sebagai pengendali sementara sebelum ini.

Dalam pada itu, Cheng Hoe turut mengingatkan anak-anak buahnya bahawa Melaka United bukanlah lawan yang mudah meskipun dipalit dengan isu tunggakan gaji.

“Saya percaya walaupun ada krisis dalam Melaka United, apabila pemain turun di tengah padang, mereka sudah tentu akan memberikan aksi yang terbaik dan komitmen penuh.

Artikel Berkaitan:

“Ini kerana bagi mana-mana pemain profesional, mereka letak tepi masalah di luar padang, mereka perlu fokus dalam pasukan kerana ingin buktikan sesuatu kepada pasukan.

“Jadi, saya harap pemain-pemain yang akan saya turunkan esok (Sabtu) tidak memandang rendah dengan kemampuan Melaka United kerana ia akan menjerat pasukan semula,” ujarnya.