Bayi ditinggal depan rumah warga emas

Buat sementara bayi yang dinamakan sebagai Ayden di tempatkan di Yayasan Orphan Care Johor Bahru mulai 26 September lalu hingga 24 Oktober ini.
Buat sementara bayi yang dinamakan sebagai Ayden di tempatkan di Yayasan Orphan Care Johor Bahru mulai 26 September lalu hingga 24 Oktober ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang bayi lelaki dianggarkan berusia dua atau tiga hari ditinggalkan di hadapan rumah seorang penduduk di Kampung Tawakal, Kempas di sini, pada 20 Ogos lalu.

Bayi yang masih bertali pusat dan hanya dibaluti kain batik diletakkan dalam kotak di hadapan rumah seorang wanita warga emas.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Adnan Md Yassin berkata, bayi berkenaan kemudian diselamatkan penduduk kampung itu yang menyedarinya pada jam 12.40 tengahari.

"Bayi berkenaan kemudian dirawat di Bahagian Kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini. Pada ketika itu keadaan bayi ini agak membimbangkan kerana ketika itu diserang sawan dan mengalami masalah pernafasan.

"Bagaimanapun selepas menjalani rawatan, keadaan bayi berkenaan beransur baik dan disahkan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan yang kronik," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Adnan berkata, buat sementara bayi yang dinamakan sebagai Ayden di tempatkan di Yayasan Orphan Care Johor Bahru mulai 26 September lalu hingga 24 Oktober ini.

"Pelindung kanak-kanak akan mengurus pendaftaran kelahiran bayi berkenaan dan membincangkan penempatannya pada masa depan," ujar beliau.

Bagi tujuan itu katanya, JKM meminta bantuan orang ramai bagi mengesan waris bayi itu bagi membincangkan kebajikan dan keperluannya.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai boleh menghubungi Pelindung Kanak-kanak, Zaid Ikhwan Lim di talian 07-2232606 atau 07-2232607 bagi menyalurkan maklumat.