Kerajaan perlu beri tumpuan sistem pangkalan data MySPC

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu segera memberi tumpuan dan keutamaan kepada cadangan untuk mewujudkan sistem pangkalan data nasional perlindungan sosial di bawah Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC).

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, sistem berkenaan harus disegerakan bagi membantu mengoptimumkan pengurusan sumber dalam memastikan lebih ramai rakyat Malaysia menerima bantuan kebajikan, tanpa ada keciciran.

Menurutnya, pangkalan data sangat diperlukan kerana sistem perlindungan sosial dilihat ‘berpecah’ dengan kewujudan kira-kira 110 buah Program Perlindungan Sosial di Malaysia.

“Dengan bebanan tugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang besar dan kepelbagaian program kebajikan pelbagai pihak yang tidak diselaraskan, terdapat satu keperluan untuk mewujudkan pangkalan data yang menyeluruh bagi pihak yang menguruskan pelbagai program kebajikan.

“Ini boleh dilaksanakan dengan menggunakan MyKad sedia ada. Tanpa pangkalan data yang senang diakses, penerima bantuan ada yang sampai menerima lima beg sekolah dalam program Back-To-School atau lima guni beras untuk bantuan makanan.

“Ini sememangnya satu pembaziran dan menyebabkan ramai lagi tercicir daripada menerima bantuan kebajikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Hannah berkata, JKM sehingga kini tidak mempunyai pekerja sosial mencukupi dan ia mengundang kepada berlakunya keciciran bantuan kepada rakyat.

Menurutnya, berdasarkan kajian yang dibuat oleh Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) pada tahun 2018 dan 2019, nisbah pekerja sosial di JKM berbanding populasi penduduk Malaysia adalah 1:8,576 penduduk Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Nisbah ini besar jika kita bandingkan dengan negara-negara lain seperti satu pekerja sosial kepada 490 rakyat di Amerika Syarikat (1:490); satu kepada 1,040 di Australia (1:1,040); 1:3,025 di United Kingdom, dan jiran kita Singapura 1:3,448 orang,” katanya.