174 mangsa penipuan kerja masih terkandas di negara jiran

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 174 rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan masih terkandas di negara jiran berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, sebanyak 224 laporan diterima daripada ahli keluarga mangsa sejak tahun 2021 sehingga Jumaat.

"Daripada laporan polis yang diterima, seramai 284 individu menjadi mangsa dengan 174 masih terkandas manakala 110 lagi telah berjaya diselamatkan dan dibawa pulang.

"PDRM akan terus menggunakan semua platform untuk bekerjasama dengan pelbagai agensi terutama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dan Polis ASEAN (Aseanapol) untuk menangani masalah ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada 19 Ogos Sinar Harian melaporkan, PDRM telah menerima sebanyak 182 laporan membabitkan seramai 238 mangsa penipuan sindiket terbabit.

PDRM dilapor berkata, individu yang menjadi mangsa berkenaan terkandas di luar negara akibat terpedaya dengan helah sindiket yang menjanjikan pendapatan lumayan.

Dalam pada itu, Noorsiah menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila menerima sebarang tawaran kerja menerusi platform media sosial.

"Pastikan semakan mengenai kesahihan atau ketulenan maklumat majikan dibuat dengan Kementerian Luar Negeri sebelum menerima sebarang pekerjaan," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: