[VIDEO] Polis kesan individu tular culik ahli perniagaan

Mangsa dilarikan menaiki sebuah kereta jenis Toyota Vellfire sebelum dilepaskan di Klang. Orang awam cuba mengejar kenderaan dinaiki suspek namun gagal.
Mangsa dilarikan menaiki sebuah kereta jenis Toyota Vellfire sebelum dilepaskan di Klang. Orang awam cuba mengejar kenderaan dinaiki suspek namun gagal.
A
A
A

AMPANG - Polis sedang mengesan individu terlibat dalam kejadian culik seorang ahli perniagaan di sebuah restoran di Jalan Pandan Indah 1/23d, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada jam 5.03 petang mendakwa mangsa ditarik ke dalam sebuah kereta secara paksa oleh sekumpulan lelaki.

"Mangsa seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun makan di restoran berkenaan seorang diri dan datang sekumpulan dipercayai lelaki tempatan telah menarik serta memaksa mangsa masuk ke dalam sebuah kereta Toyota Vellfire berwarna putih.

"Mangsa menjerit meminta tolong dan cuba untuk melepaskan diri namun tidak berjaya dan mangsa telah dilarikan menaiki kenderaan berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Kejadian itu tular di media sosial selepas satu klip video berdurasi satu minit 11 saat memaparkan sekumpulan penunggang motosikal mengejar kenderaan dinaiki suspek terbabit.

Mohamad Farouk berkata, mangsa telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya sekitar jam 10.45 malam, selepas dilepaskan oleh suspek di Klang.

"Mangsa mengalami beberapa kecederaan luka di bahagian kaki dan muka akibat kejadian itu serta telah mendapat rawatan di Hospital Ampang.

"Punca kejadian dipercayai akibat masalah hutang dengan pihak majikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, suspek telah dikenal pasti dan usaha menjejak mereka sedang dijalankan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan.