Bertempur ketika perang Bakara

A
A
A

Nur Alia Nadhira (tengah) menyampaikan sumbangan RM2,000 kepada Kamaruddin.
Nur Alia Nadhira (tengah) menyampaikan sumbangan RM2,000 kepada Kamaruddin.

GOMBAK - Bertempur ketika perang Bakara pada 1993 merupakan antara pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan oleh pesara tentera, Kamaruddin Zainal, 65.

Beliau merupakan pasukan kedua Malaysia Batalion (Malbat) 1 yang dihantar ke Misi Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB) Somalia selama enam bulan bermula 8 Jun 1993 hingga 8 Januari 1994.

Menurutnya, misi berkenaan telah mengorbankan seorang tentera Malaysia dan sembilan yang lain cedera dalam pertempuran kedua terpanjang selepas Perang Dunia Kedua.

Katanya, pertempuran berlaku ketika misi menyelamat renjer Amerika Syarikat (AS) yang dikepung di Pasar Bakara.

"Kami telah termasuk dalam kawasan serang hendap. Kami diserang dan ditembak bertubi-tubi dari jam 11.50 malam hingga 6.30 pagi.

"Ratusan tentera AS maut dalam peristiwa itu selain memusnahkan dua kereta kebal, empat helikopter black hawk yang ditembak musuh," katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Kamaruddin menunjukkan pingat yang diperolehinya sepanjang perkhidmatan
Kamaruddin menunjukkan pingat yang diperolehinya sepanjang perkhidmatan

Beliau ditemui di rumahnya di Batu 11 di sini ketika menerima kunjungan Sinar Harian bersama kakitangan LBS Bina Group Berhad (LBS) dan UiTM Private Specialist Centre (UPSC) menerusi program Jejak Wira.

Kongsinya, misi PBB Somalia itu adalah pengalaman yang paling bermakna sepanjang 18 tahun berkhidmat sebagai tentera.

"Kebanyakan tentera Malaysia tiada pengalaman berperang kerana negara kita tiada perang. Cuma, sebelum ke Somalia, saya pernah bertempur secara kecil-kecilan dalam operasi berbalas tembakan dengan komunis.

"Saya rasa bangga kerana bukan semua askar yang berkhidmat hingga pencen pernah berperang tetapi saya dapat pengalaman itu. Alhamdulillah, saya tidak pernah alami kecederaan sepanjang berkhidmat," katanya.

Sejarah perkhidmatan

Kamaruddin mula berkhidmat sejak 16 Januari 1980 dan selepas tamat rekrut, beliau ditempatkan ke Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu DiRaja Sungai Petani ketika berumur 23 tahun.

Kamaruddin ketika terlibat Misi PBB 1993
Kamaruddin ketika terlibat Misi PBB 1993

Minat menyertai badan beruniform didorong oleh latar belakang bapanya yang juga seorang anggota polis.

"Empat daripada lapan adik-beradik saya berkhidmat dalam badan beruniform iaitu dua polis dan dua tentera.

"Salah seorang anak saya juga mengikut jejak langkah menjadi tentera. Lebih manis, dia ditempatkan Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu DiRaja Sungai Petani, tempat pertama saya berkhidmat," katanya.

Menurutnya, segala pengalaman dan nasihat telah dicurahkan buat anaknya itu untuk menjadi tentera yang baik dan membanggakan keluarga.

"Saya curahkan segala pengalaman saya kepada dia. Saya nasihatkannya supaya menggalas tanggungjawab sebaiknya dan bukan mengejar pangkat.

"Saya ingatkannya supaya patuh perintah, jadi askar ini tugasnya perlu patuh kepada arahan dan perintah," tegasnya.

KAMARUDDIN
KAMARUDDIN

Selepas pencen pada 1998, anak jati Gombak itu kekal aktif dalam beberapa persatuan veteran tentera selain turut serta aktiviti kemasyarakatan bersama komuniti dan surau.

Jelasnya, tidak ramai penduduk kampung tahu beliau pernah berperang di Somalia melainkan kenalan terdekat.

Namun, kunjungan Jejak Wira pada Selasa itu kembali menggamit kenangan 30 tahun lalu.

"Melalui kunjungan ini saya rasa dihargai. Kenangan yang pudar kembali menjelma.

"Ia menaikkan semangat saya. Tak semua orang sanggup bergadai nyawa namun kami sanggup demi keselamatan orang ramai. Saya tegaskan di sini, kami berperang bukan kerana benci kepada musuh di depan mata tetapi sebab sayangkan generasi kami," katanya.

Hargai wira negara

Eksekutif Perhubungan Awam dan Media, Jabatan Komunikasi Korporat, Media & Digital LBS Bina Group Berhad, Nur Alia Nadhira Radzuan berkata, pihaknya terpanggil untuk bekerjasama dengan Sinar Harian menjejaki wira negara sebagai menghargai pengorbanan mereka menjaga kedaulatan negara.

"Ini merupakan kolaborasi kedua LBS bersama Sinar Harian. Kami menyantuni pesara tentera, Kamaruddin yang telah berkhidmat dalam tentera selama 18 tahun.

No Image Caption

"Selain bersama pegawai perubatan dari UPSC untuk pemeriksaan kesihatan, LBS turut memberi sumbangan wang tunai RM2,000 yang diharap sedikit sebanyak dapat membantu penerima menampung perbelanjaan harian.

"Ini merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan LBS bersama masyarakat dan kali ini fokus kami membantu wira-wira negara yang tidak didendangkan," katanya.

Ujarnya, program sama akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan LBS bukan hanya unggul dalam sektor pemaju hartanah tetapi turut serta dalam kerja sosial kepada masyarakat.

Sementara itu, Pegawai Perubatan UPSC, Dr Syakirah Azami menasihati Kamaruddin mengamalkan pemakanan seimbang dan menjaga paras gula dalam badan.

"Keadaan kesihatan semasa beliau sama seperti rakan seusianya. Saya berpuas hati kerana beliau ambil berat kesihatan diri dan komited melakukan pemeriksaan berkala di klinik berhampiran.

"Saya harap segala pemakanan yang diambil direkodkan dalam diari kesihatan disediakan bagi memudahkan pemantauan oleh pegawai perubatan yang membuat pemeriksaan ke atasnya," katanya.

Jelasnya, pengambilan makanan seimbang bersesuaian dengan penyakit diabetes selain kawalan paras gula penting bagi mengelak hipertensi atau tekanan darah tinggi.