Bajet 2023: Tumpu pelancongan mampan, kurangkan utiliti

MyBHA berharap kerajaan meningkatkan nilai ambang Cukai Perkhidmatan di bawah SST bagi industri hotel daripada RM500,000 kepada RM1.5 juta. Gambar hiasan/Foto: 123RF
MyBHA berharap kerajaan meningkatkan nilai ambang Cukai Perkhidmatan di bawah SST bagi industri hotel daripada RM500,000 kepada RM1.5 juta. Gambar hiasan/Foto: 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemain industri pelancongan di negara ini mahu kerajaan memberi tumpuan bagi pertumbuhan industri pelancongan yang mampan, selain pengurangan perbelanjaan operasi dan utiliti dalam Bajet 2023.

Ini bagi memastikan sektor pelancongan dapat kembali beroperasi dengan baik dalam fasa peralihan ke endemik memandangkan ia adalah antara sektor yang paling terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel berharap kerajaan akan mempertimbangkan untuk meningkatkan nilai ambang Cukai Perkhidmatan di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi industri hotel daripada RM500,000 kepada RM1.5 juta.

"Ini kerana hotel bajet hanya memperoleh purata RM50 sebilik untuk penginapan satu malam dan tidak selaras dengan keperluan ekonomi semasa.

"Kami menawarkan perkhidmatan kepada rakyat kebanyakannya di bawah kategori B40 dan oleh itu, meningkatkan nilai ambang SST akan memudahkan kami dalam menetapkan kadar harga yang betul untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat dalam kumpulan itu,” katanya kepada Bernama.

Sri Ganesh juga mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan tarif elektrik khas untuk industri pelancongan serta insentif pembiayaan dan cukai.

Penjaga muzium perlombongan bijih timah yang terletak di Ipoh, Han Chin Pet Soo (HCPS), Leong Meng Fai berharap kerajaan dapat mengkaji untuk mengurangkan perbelanjaan utiliti bagi muzium dan pusat pameran dalam kategori yang sama.

"Pengurangan ini amat dihargai kerana ia sangat melegakan tugas kami dalam menyelenggara muzium, yang tidak mudah terutamanya HCPS beroperasi dalam satu daripada bangunan lama di Ipoh.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kami berharap bajet kali ini mempertimbangkann untuk membiayai walaupun sebahagian, bagi membaik pulih bangunan lama sama ada di Ipoh atau negeri lain, untuk memastikan struktur unik ini kekal terpelihara dan seterusnya dapat menarik lebih ramai pelancong,” katanya. - Bernama