Pulau Pinang tuntut ketelusan SPRM

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telus dalam mendedahkan jumlah kes yang dibawa ke mahkamah dan jumlah penjawat awam yang didapati bersalah atas kesalahan rasuah serta salah guna kuasa.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ketelusan di pihak SPRM amat perlu kerana beliau tidak mahu imej penjawat awam Pulau Pinang dan kerajaan negeri tercemar hanya dengan jumlah aduan yang diterima sejak 2019.

Menurutnya, Pulau Pinang mengalu-alukan siasatan SPRM terhadap jenayah rasuah yang melibatkan penjawat awam di negeri ini kerana ia selaras dengan prinsip tadbir urus cekap, akauntabiliti dan ketelusan (CAT) yang diamalkan kerajaan negeri sejak 2008 lagi.

"Tiada sesiapa pun sama ada penjawat awam, daripada pihak berkuasa dan agensi Persekutuan, negeri atau tempatan yang terlepas dari tindakan undang-undang sekiranya didapati terlibat dalam menerima rasuah, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu mesti disiasat dan didakwa secepat mungkin.

"Kerajaan Pulau Pinang sedia bekerjasama dengan SPRM bagi memastikan pegawai yang terlibat dengan amalan rasuah ditangani dengan serius,"katanya menerusi kenyataan di sini, pada Jumaat.

Pada Khamis Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mendedahkan kesalahan menerima suapan, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu dalam kalangan penjawat awam agak membimbangkan di Pulau Pinang.

Katanya, berdasarkan statistik SPRM, sebanyak 919 aduan diterima pihaknya berhubung kesalahan itu sejak 2019 hingga kini.

"Banyak kesalahan yang dilakukan dan kesalahan rasuah yang menjadi pilihan lazimnya melibatkan dua kesalahan iaitu penerimaan suapan dan salah guna kuasa.

Artikel Berkaitan:

"Kami terima sebanyak 312 maklumat kes penerimaan suapan dan 147 maklumat kes salah guna kuasa di Pulau Pinang,” katanya.