Banjir: MBJB minta pemaju siapkan pelan tebatan banjir

Mohd Noorazam ketika Mesyuarat Penuh MBJB, di Menara MBJB pada Khamis.
Mohd Noorazam ketika Mesyuarat Penuh MBJB, di Menara MBJB pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemaju bakal diwajibkan untuk menyiapkan pelan tebatan banjir termasuk membina kolam tadahan, sebelum Kebenaran Merancang diluluskan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bermula tahun depan.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, langkah tersebut bertujuan mengatasi isu banjir kilat di kawasan bandar raya yang dilaporkan semakin kerap berlaku.

Katanya, pemaju juga akan diwajibkan melakukan penanaman pokok sebelum projek dimulakan.

"MBJB sedang melihat kembali prosedur serta kaedah rancangan pembangunan di bandar raya ini termasuk mengetatkan syarat sebelum meluluskan Kebenaran Merancang.

"Bermula tahun depan, semua permohonan rancangan pembangunan yang dihantar perlu mematuhi syarat ketat iaitu menyiapkan pelan tebatan banjir," katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Penuh MBJB, di Menara MBJB di sini, pada Khamis.

Tambah Mohd Noorazam berkata, kajian terperinci termasuk kajian berkumpulan (fokus group) sedang dilakukan MBJB selain melantik konsultan untuk menyegerakan input bagi melaksanakan syarat baharu berkenaan.

"Kajian berkumpulan akan membabitkan persatuan arkitek, ukur tanah dan pemaju selain MBJB sendiri bagi mencari kaedah terbaik melakukan pembaharuan syarat Kaedah Merancang yang lebih mesra alam.

Artikel Berkaitan:

"MBJB mahu pemaju lebih bertanggungjawab dan melaksanakan pelan tebatan banjir yang disyaratkan dahulu atau kita tidak akan luluskan projek pembangunan dirancang," katanya.