Setiausaha Agung PKBM meninggal dunia

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Setiausaha Agung Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang juga Ketua Penerangan UMNO bahagian Kota Melaka, Datuk Ashakari Abu Noor, 58, meninggal dunia pada 1.41 pagi Khamis di Hospital Besar Melaka.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah berkata, difahamkan Allahyarham meninggal dunia selepas dua hari mendapatkan rawatan di hospital itu dipercayai akibat serangan sakit jantung.

"Saya merakamkan salam takziah buat seluruh ahli keluarga di atas kepulangan Allahyarham ke rahmatullah dan semoga keluarganya diberikan ketabahan dan kesabaran.

"Semoga amal ibadah Allahyarham diterima di sisi Allah SWT dan segala dosa-dosanya diampuni,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Khamis.

Beliau berkata, jenazah Allahyarham yang juga Setiausaha Khas Perhubungan kepada Ketua Menteri Melaka disemadikan sebelum solat zuhur di Tanah Perkuburan Kampung Musai, Bukit Baru di sini.

Allahyarham meninggalkan balu Roslina Zakaria, 59, dan sepasang anak lelaki dan perempuan.

Allahyarham juga merupakan pengurus skuad berbasikal ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan: