[VIDEO] Syria Care sasar dana RM1.7 juta bantu pelarian Syria

Siti Sakinah
Siti Sakinah
A
A
A


SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pertubuhan Syria Care menyasarkan kutipan dana sebanyak RM1.7 juta sebagai persediaan menghadapi musim sejuk buat pelarian yang berada di utara Syria menerusi kempen Bantuan Musim Sejuk 10.0 (BMS10.0).

Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, pihaknya mengharapkan kesediaan orang ramai untuk turut sama membantu menyempurnakan misi bantuan kemanusiaan yang memasuki tahun kesepuluh itu.

Menurutnya, selain agihan makanan, antara keperluan yang amat diperlukan pelarian di sana ialah bahan bakar yang terdiri daripada kayu api, diesel atau birin.

“Birin merupakan biji buah zaitun yang telah dikisar dan dikeluarkan minyaknya, dimampatkan, dijemur dan digunakan seperti arang. Itu antara benda yang mudah diperoleh di sana.

“Dalam musim sejuk, keperluan yang paling mendesak ialah bahan bakar kerana tanpa alat untuk memanaskan badan, kesejukan itu sendiri boleh membunuh mereka,” katanya ketika ditemui selepas selesai menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Syria Care dan Sinar Karangkraf Sdn Bhd di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.



Beliau menambah, sempena kempen BMS10.0, Syria Care turut melancarkan Projek 'Warm Their Winter' untuk mengumpulkan pakaian musim sejuk bagi membantu menyediakan keperluan pakaian kepada pelarian Syria.

Jelasnya, projek itu akan dijalankan pada 2 hingga 8 Oktober ini bertempat di Zon Lembah Klang di Laman 83, Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor.

“Bagi Zon Selatan pula pada 17 hingga 24 Oktober di Mahallah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh di Muar, Johor.

“Orang ramai boleh menyumbang pakaian musim sejuk terpakai yang masih elok dan baik termasuk baju sejuk, selimut tebal, mafla, jaket, kasut but, stokin tebal dan baju lengan panjang,” jelas beliau.
Artikel Berkaitan:


Mengulas mengenai kerjasama Syria Care dan Sinar Karangkraf, Siti Sakinah berkata, kerjasama strategik tersebut diharapkan dapat memudahkan proses mewar-warkan kempen BMS10.0 kepada khalayak.

“Sinar Harian merupakan wadah akhbar bahasa Melayu nombor satu di Malaysia dan kita pun pernah bekerjasama sebelum ini.

“Melalui kerjasama ini, kita yakin ia boleh membantu memberi gambaran tentang keperitan yang dialami pelarian Syria, begitu juga dengan projek yang kita nak laksanakan," ujarnya.

Untuk sebarang pertanyaan atau sumbangan, orang ramai boleh menghubungi Syria Care di talian 03-55234077 atau 011-28809820 serta boleh layari laman sesawang www.syriacare.org.my dan saluran media sosial Syria Care Malaysia di Facebook, Instagram dan Twitter.