Pemandu lori maut dihempap besi papan tanda

Anggota bomba sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Anggota bomba sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang pemandu lori maut selepas dihempap besi papan tanda penghadang jalan dalam kejadian di Persiaran Paya Terubong, Bayan Lepas di sini pada Rabu.

Dalam kejadian jam 3.15 petang itu, mangsa, S Kumaravelan, 48, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas lori dipandu mangsa memasuki laluan berkenaan yang dikhaskan untuk kenderaan ringan sahaja sebelum berlanggar dengan besi penghadang.

Akibat perlanggaran itu, besi penghadang terbabit dikatakan tumbang dan menghempap bahagian depan lori.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong, Mohd Shakir Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati pemandu tersepit di tempat duduk pemandu.

Menurutnya, ketika anggota bomba sampai, lelaki terbabit sudah tidak sedarkan diri dan pihaknya menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira jam 3.46 petang dan pasukan perubatan yang turut berada di lokasi kejadian mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia.

"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.37 petang," jelas beliau.

Artikel Berkaitan: