Ganja: Buat ujian kendiri sebelum pulang ke Malaysia

Surina Saad
Surina Saad
A
A
A

KANGAR - Rakyat Malaysia yang berkunjung ke negara membenarkan pengambilan dadah dinasihatkan membuat ujian saringan urin menggunakan ‘test strip’ di negara tersebut terlebih dahulu sebelum pulang ke Malaysia.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, ia untuk mengetahui sama ada produk makanan diambil mengandungi ganja atau tidak.

Beliau memberitahu, individu terbabit perlu membuat ujian kendiri tersebut bagi memastikan diri mereka bebas dari dadah sebelum pulang ke Malaysia.

“Jika gagal dan didapati positif dadah oleh pihak penguat kuasa maka akan dihukum di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jadi, saya nasihat jangan ambil dadah atau produk dadah semasa berada di luar negara, sekali gus berhati-hati dengan ‘sample’ makanan di negara yang kita lawati kerana kemungkinan ia adalah produk daripada dadah ganja,” katanya.

Beliau mengingatkan kandungan ‘Delta-9-tetrahydrocannabinol’ atau THC iaitu kandungan dadah dalam ganja boleh berada dalam badan lebih seminggu atau sebulan bergantung kepada tubuh seseorang.

"Ia bergantung pada badan individu berkenaan namun ‘Initial Screening’ yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ialah 50 ng/ml untuk dadah jenis ganja.

"Jika dikesan mengandungi nilai ‘cut – off’ tersebut maka siasatan akan dijalankan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pengesahan pakar hanya dikeluarkan oleh pihak patologi di hospital," katanya.

Artikel Berkaitan:

Surina berkata, penguatkuasaan penyalahgunaan dadah bukan sahaja dilakukan di sempadan negara malah di seluruh Perlis.

Beliau memberitahu, jumlah penagih dadah dikesan di daerah sempadan iaitu Padang Besar sejak Januari hingga Ogos 2022 ialah seramai 255 orang berbanding Arau (218) dan Kangar (711).

“Keseluruhan jumlah penagih dadah di Perlis ialah 1,184 orang untuk tempoh yang sama,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, tiada konsep pemeriksaan rambang dilakukan polis ke atas mana-mana suspek sebaliknya saringan urin hanya dibuat ke atas suspek atas syak wasangka yang munasabah.

Katanya, setiap suspek yang dikehendaki menjalani saringan adalah atas peruntukkan Seksyen 31A(1A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Sehingga kini seramai 1,184 orang rakyat Malaysia telah ditangkap di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di Perlis,” katanya.