Geng Ameer aktif curi motosikal tumpas

Eng Lai (kanan) melihat barangan yang dirampas pada sidang media di IPD Sentul pada Rabu.
Eng Lai (kanan) melihat barangan yang dirampas pada sidang media di IPD Sentul pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan Geng Ameer yang aktif melakukan kegiatan mencuri motosikal susulan penahanan enam lelaki secara berasingan di sekitar Lembah Klang pada 20 dan 21 September lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kesemua individu yang ditahan itu berusia 26 hingga 35 tahun.

"Kita berjaya merampas enam buah motosikal dan empat rangka motosikal pelbagai jenis antaranya Yamaha, Honda serta Suzuki yang telah dilaporkan hilang di beberapa lokasi.

"Kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM60,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini pada Rabu.

Eng Lai berkata, beberapa komponen motosikal, satu unit mesin pemotong besi dan berapa peralatan yang disyaki untuk mencuri motosikal turut dirampas.

"Hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket ini didalangi empat lelaki warga tempatan yang menyasarkan motosikal jenis Yamaha dan Honda.

"Salah seorang daripada suspek merupakan mekanik yang akan bertindak menendang pemegang motosikal serta mematahkan kunci pendua yang dipasang pada tayar motosikal tersebut," katanya.

Menurutnya, suspek kemudiannya akan menunda motosikal tersebut ke sebuah stor di rumah mereka dengan bantuan seorang lagi rakan sejenayah.

Artikel Berkaitan:

"Setelah diubah suai, kesemua motosikal yang telah dicuri itu akan dijual kepada individu yang berminat dengan anggaran harga RM2,000 hingga RM5,000 bergantung kepada model sesebuah motosikal tersebut," katanya.

Beliau berkata, suspek turut menjual komponen motosikal yang dicuri dengan anggaran harga RM50 hingga RM4,000 bergantung kepada permintaan.

"Kesemua suspek termasuk dua individu yang disyaki membeli motosikal curi itu mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau.

"Mereka direman sejak 21 September lalu hingga hari ini. Kesemua suspek akan diserah kepada lbu Pejabat Polis Daerah Gombak bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berjaya menyelesaikan 10 kes kecurian yang dilaporkan iaitu enam di kawasan Sentul dan empat kes di kawasan Gombak.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan sindiket kecurian motosikal diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222," katanya.