Dua lelaki dilanggar selepas bergaduh

Mangsa cedera dilanggar sebuah kereta selepas terlibat dalam pergaduhan di Taman Molek, Johor Bahru pada pagi Isnin
Mangsa cedera dilanggar sebuah kereta selepas terlibat dalam pergaduhan di Taman Molek, Johor Bahru pada pagi Isnin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perselisihan faham menjadi punca seorang lelaki berang dan bertindak melanggar dua lelaki selepas mereka bergaduh dalam kejadian di Taman Molek di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihak polis sebelum itu mengesan satu video yang tular dalam media sosial berdurasi 1 minit 37 saat melalui aplikasi whatsApp berkenaan pergaduhan tersebut.

"Kejadian itu dilaporkan berlaku pada jam 5 pagi Isnin akibat perselisihan faham yang bermula dalam sebuah bar dan berlarutan sehingga ke luar premis.

"Kejadian itu melibatkan mangsa seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun dan suspek yang juga lelaki tempatan berusia 30 tahun," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, akibat kejadian itu suspek yang tidak berpuas hati bertindak melanggar mangsa dan seorang rakan mangsa berusia 35 tahun yang berada di tempat kejadian.

Menurutnya, kedua-dua mangsa mengalami kecedaraan dan kini dilaporkan stabil.

Bertindak atas maklumat katanya, pada jam 9.10 malam Selasa sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menangkap suspek di Jalan Persiaran Seri Alam, Masai di sini.

"Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan ujian air kencing mendapati hasilnya negatif," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Sohaimi memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun.