Buruh binaan maut, dua cedera dihempap dinding batu bata

Bomba terpaksa menggunakan jengkaut untuk membantu mengeluarkan mangsa tersepit dalam kejadian runtuhan dinding batu-bata di Indera Mahkota 15 di sini pada Selasa. - Gambar ihsan JBPM Pahang
Bomba terpaksa menggunakan jengkaut untuk membantu mengeluarkan mangsa tersepit dalam kejadian runtuhan dinding batu-bata di Indera Mahkota 15 di sini pada Selasa. - Gambar ihsan JBPM Pahang
A
A
A
KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Seorang buruh binaan warga Myanmar maut akibat dihempap dinding konkrit yang runtuh ketika melakukan kerja-kerja memasang longkang berhampiran sebuah sekolah memandu di Indera Mahkota 15, di sini pada Selasa.

Dalam kejadian yang kira-kira jam 4 petang itu, dua lagi pekerja dilaporkan cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Enus Karim Ullah, 29.

Menurutnya, dua mangsa yang parah juga warga Myanmar, Ellyas Rohsit Ullah, 31 dan Mohammad Soyat Abulhasim, 44.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika ketiga-tiga mangsa sedang menjalankan kerja-kerja memasang longkang di lokasi tersebut sebelum dinding konkrit setinggi kira-kira 2.4 meter tumbang dan menghempap mereka," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Wan Mohd Zahari berkata, ekoran kejadian, salah seorang mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi parah.

"Mayat mangsa dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba sebelum dihantar ke Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini untuk proses bedah siasat.

"Mangsa yang parah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menerima rawatan," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, susulan kejadian, 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota dan Kuantan ke lokasi untuk operasi menyelamat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian mendapati seorang mangsa tersepit di celah runtuhan konkrit dan disahkan meninggal dunia.

"Pihak bomba terpaksa menggunakan jengkaut untuk menolak dan mengangkat dinding konkrit yang menghempap mangsa.

"Mayat mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.