Bapa ditahan pukul, tumbuk anak kembar

Seorang lelaki yang dipercayai memukul dan menumbuk dua anak kembarnya diberkas polis di sekitar daerah ini, pada Isnin. - Gambar hiasan
Seorang lelaki yang dipercayai memukul dan menumbuk dua anak kembarnya diberkas polis di sekitar daerah ini, pada Isnin. - Gambar hiasan
A
A
A

KLANG - Seorang lelaki yang dipercayai memukul dan menumbuk dua anak kembarnya diberkas polis di sekitar daerah ini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, ibu mangsa mendakwa dua anak lelakinya yang juga pasangan kembar berusia 11 tahun telah dipukul, ditampar dan ditumbuk di bahagian muka serta badan oleh suaminya pada 20 September.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, ibu mangsa turut dipukul selepas cuba menghalang tindakan suaminya itu.

Susulan itu, ibu mangsa telah membuat laporan Balai Polis Klang pada Isnin.

"Bertindak atas maklumat, pada hari yang sama kira-kira jam 7.30 malam, sepasukan polis dari Cawangan Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Selatan telah menahan suspek berusia 44 tahun di kediamannya di Klang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek iaitu bapa kepada lima orang anak itu mempunyai tiga rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah.

Katanya, motif kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan kanak-kanak itu yang didakwa sering keluar merayau dan pulang lewat ke rumah.

"Suspek juga dikatakan adalah seorang yang panas baran.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat kesan kecederaan lama ditemui di badan kedua-dua mangsa dipercayai akibat dipukul oleh suspek, namun tiada sebarang rawatan atau laporan polis dibuat berkenaan kejadian tersebut sebelum ini," ujarnya.

Tambah Hoong Fong, suspek yang juga bekerja sebagai pemandu lori itu kini direman empat hari sehingga Jumaat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi kesalahan penderaan terhadap kanak-kanak," tegasnya.