Penyertaan Parti Muda, PSM dalam PH perlu bersyarat

Ikhmal
Ikhmal
A
A
A

KUANTAN - Penyertaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk menjadi rakan sekutu Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu bersyarat.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pahang, Ikhmal Zulkifli berpendapat, ini kerana perjuangan dan idealogi Parti Muda masih samar dan perlu diperjelaskan secara lengkap mengenai hala tuju parti itu terlebih dahulu.

Menurutnya, Parti Muda dan PSM juga tidak boleh merampas kerusi yang boleh menang yang ditandingi oleh komponen parti PH sedia ada.

"Kita semua tahu Parti Muda ini adalah sebuah parti baharu, jadi mereka sepatutnya perlu bermula dari bawah dengan menawan

kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang belum menang.

"Sebagai contohnya, mereka perlu bertanding di kawasan Pantai Timur dan bukannya menumpang atau merebut kerusi yang telah dimenangi PH," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Pada 10 September lalu, Majlis Presiden PH menerima permohonan daripada Parti untuk menyertai PH secara rasmi.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mendedahkan permohonan itu dihantar oleh Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ikhmal berkata penyertaan Parti Muda dan PSM perlu dilihat sebagai penambahan nilai kepada parti PH.

Jelasnya, bagaimanapun kedua-dua parti terbabit perlu bertanding di kerusi DUN dan Parlimen yang lebih mencabar.

"Kita masih tidak lupa Parti Muda bertegas untuk melawan PH di Larkin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Johor awal tahun ini," ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, Ikhmal memaklumkan AMK Pahang telah mengukuhkan struktur organisasinya.

Katanya, susulan itu, AMK Pahang bersetuju untuk melantik Timbalan Ketua Penerangan, Muhamad Shahidan Saedun dan

Timbalan Pengarah Strategi, Dzul Azrul Azhar.

"Bagi jawatan Biro Mahasiswa pula disandang Anwar Abbas Afkar Ahmad Faisal dan Penolong Bendahari, Micheal Sia Wei Lung serta Setiausaha Kerja, Mohd Khairi Ramli," jelas beliau.

Sehubungan itu, Ikhmal berkata, Angkatan Muda Harapan (AMH) yang dianggotai oleh AMK Pahang bersama dengan Pemuda Amanah dan juga Pemuda DAP akan mengadakan Jelajah AMH di Parlimen Lipis dan juga Parlimen Temerloh pada 1 Oktober depan.

Ujarnya, program terbabit akan dihadiri oleh pimpinan-pimpinan utama gabungan ketiga-tiga parti utama.

Selain itu, katanya, ketua-ketua AMK Cabang di kesemua kawasan parlimen di Pahang akan menubuhkan jentera sukarelawan untuk menghadapi banjir yang kemungkinan berlaku pada musim tengkujuh ini.

"Kita mengalu-alukan penyertaan sukarelawan-sukarelawan dan sumbangan barangan ataupun tunai daripada orang ramai untuk

menghadapi banjir kali ini," kata Ikhmal.