Everton kena jaga piawaian

Lampard
Lampard
A
A
A

KELAB Merseyside, Everton diingatkan supaya mengekalkan piawaian selepas mencatatkan kemenangan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini ketika melayan kunjungan West Ham United di Goodison Park pada 18 September lalu.

Malah pengurus The Toffees, Frank Lampard menegaskan para pemainnya perlu lebih serius meraih kemenangan selepas mengharungi permulaan musim yang mencabar setelah kehilangan beberapa tonggak pasukan.

“Realitinya kini kami telah menetapkan satu standard dan corak permainan baharu yang bakal menyaksikan pasukan ini sukar untuk ditewaskan lawan.

“Jika anda sukar untuk ditewaskan dalam liga ini, ia secara tidak langsung memberi isyarat bahawa prestasi pasukan ini telah meningkat setakat musim ini.

“Ya, kami telah menetapkan piawaian sekarang yang perlu kami pertahankan," kata bekas pengendali Chelsea tersebut.

Jaringan Neal Maupay pada minit ke-53, membolehkan Everton melakar kemenangan pertama selepas mengharungi tujuh perlawanan sekali gus menduduki tangga ke-13 liga dengan mengumpul tujuh mata.

Pada masa sama, Lampard mengakui The Toffees masih dalam proses pembentukan pasukan musim ini.

“Kami juga perlu memahami bahawa pasukan mempunyai pemain baharu dan ini bermakna ia mengambil masa untuk membentuk keserasian dalam permainan kami.

Artikel Berkaitan:

“Pasukan berada di permulaan proses bergerak ke hadapan dan kemenangan ke atas West Ham memberikan kami tiga mata penting, terutamanya selepas pasukan ini sebenarnya layak mendapat keputusan lebih baik dalam perlawanan sebelum ini,” kata Lampard.